PENGHANTARAN KUMPULAN KEDUA MALBATT 850-8

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11

 

SUBANG, 15 Okt 2020 - Bertempat di Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, hari ini telah berlangsung majlis penghantaran kumpulan kedua Malaysian Battalion (MALBATT) 850-8 ke Lubnan di bawah misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL). Majlis sederhana penghantaran kumpulan kedua MALBATT 850-8 ini disempurnakan oleh Panglima Angkatan Bersama (PAB), Lt Jen Dato’ Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM mewakili Panglima Angkatan Tentera. Turut bersama PAB menghantar kumpulan kedua ini ialah AKS Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Hj Md Fauzi bin Saleh TUDM; Timbalan KS Markas Pemerintahan Operasi Udara, Brig Jen Dato’ Othman bin Ahmad TUDM; Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Omar bin Haji Damawi TUDM serta pegawai-pegawai kanan ATM dan Penasihat Pertahanan Brunei, Lt Kol Abdul Rajid bin Hj Zainie.

Pada hari ini, seramai 216 orang pegawai dan anggota yang diketuai oleh Timbalan Komander MALBATT 850-8, Lt Kol Roslan bin Mohd Zin yang terdiri daripada 14 pegawai serta 196 anggota ATM termasuk seorang pegawai dan lima (5) anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

PAB di dalam ucapannya memberikan kata-kata semangat dan menyifatkan anggota MALBATT adalah duta kecil Malaysia dan Brunei, serta menyeru agar dapat mengekalkan semangat kerjasama sebagai satu pasukan untuk berfungsi dengan efektif dan efisyen pada sebilang masa. Beliau menasihati anggota MALBATT supaya memelihara tahap disiplin yang tinggi dan mengekalkan imej ATM dan ABDB sebagai satu pasukan yang tinggi budi pekertinya. Imej negara Malaysia dan Brunei yang amat dikenali dan dihormati oleh masyarakat Lubnan sejak penglibatan misi UNIFIL bermula tahun 2007 hingga kini yang mana kumpulan MALBATT sangat disenangi, dihormati dan dipandang tinggi oleh sebilangan besar penduduk dan pemimpin Lubnan.

Beliau turut menekankan kepentingan anggota MALBATT agar sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP pencegahan Covid-19 yang ditetapkan dan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan serta sentiasa mengamalkan norma baru dalam tugas seharian meskipun pengoperasian MALBATT masih dalam keadaan terkawal dan selamat.

Kumpulan kedua MALBATT 850-8 berlepas melaksanakan tugas di bumi Lubnan dari Pangkalan Udara Subang pada jam 4.00 petang. Berikutan pandemik Covid-19, SOP dan norma-norma baharu perlu dipatuhi termasuklah tiada lagi keluarga serta sanak saudara dapat mengiringi, menghantar dan menjemput seperti tahun-tahun sebelumnya. TUDM mengucapkan selamat bertugas kepada MALBATT 850-8 dan semoga misi yang dilaksanakan diterima sebagai suatu ibadah mulia dan amal soleh yang mendapat keredaan dan keberkatan dariNYA.