SENDAYAN, 8 Sep 23 – Asisten Ketua Staf Tadbir (AKS Tadbir), Brig Jen Hj Baharudin bin Hj Abu Hassan TUDM telah menghadiri Pembentangan Kurikulum Kursus Penyiasatan Cawangan Provos Marsyal. Cawangan Provos Marsyal TUDM (CPM TUDM) telah berjaya membangunkan satu Kurikulum Kursus Penyiasatan yang merupakan kurikulum kursus kepakaran siasatan kepada pegawai Cawangan Tadbir dan anggota Pembantu Pertahanan agar dapat mempelajari ilmu pengetahuan dan kemahiran bidang siasatan sekaligus dapat melahirkan pegawai dan anggota yang kompeten untuk menjalankan tugas siasatan dalam CPM TUDM. Terdapat 3 kurikulum kursus yang telah dibangunkan iaitu Kursus Pegawai Penyiasat (IO), Kursus Penolong Pegawai Penyiasat (AIO) serta Kursus Detektif Jenayah dan Narkotik.
Kurikulum kursus ini dibangunkan mengikut perkembangan kaedah, teknik dan teknologi dalam bidang siasatan masa kini. Penekanan kemahiran di lapangan siasatan juga ditekankan melalui latihan praktikal yang disusun secara komprehensif manakala reka bentuk kurikulum ini direka khas mengikut tahap penugasan anggota di CPM TUDM. Anggota baharu akan menghadiri kursus Detektif Jenayah dan Narkotik terlebih dahulu. Setelah mereka mempunyai pengalaman dalam tugas sebagai detektif, anggota akan menghadiri kursus Penolong Pegawai Penyiasat dan apabila anggota dinaikkan pangkat ke Sarjan Udara, anggota akan menghadiri kurus Pegawai Penyiasat bersama pegawai yang terpilih dan berkelayakan dari Cawangan Tadbir. Kurikulum kursus ini juga merupakan satu inisiatif kepada langkah penjimatan untuk kos bayaran yuran kursus dan pensyarah jemputan serta kebergantungan kepada agensi luar.
Di akhir sesi pembentangan kurikulum kursus ini, Asisten Ketua Staf Tadbir telah menyempurnakan pemakaian pangkat kepada empat anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang bertugas di CPM TUDM dan CPJ Zon iaitu FSjn Mohd Afsham bin Saad yang dinaikkan ke pangkat Pemangku Pegawai Waran Udara Dua, Sjn U Azrin Musli bin Hamzah yang dinaikkan ke pangkat Pemangku Flait Sarjan dan Kpl U Mohd Romzie bin Barudie serta Kpl U Mohamed Yusri bin Md Yasin yang masing-masing dinaikkan ke pangkat Pemangku Sarjan Udara.
Pembentangan kurikulum kursus CPM TUDM ini diharap dapat meningkatkan kompetensi dan memperkasakan warga TUDM khususnya dalam melahirkan anggota yang menjadi aset kepada perkhidmatan bagi cegah rintang kepada berlakunya pelanggaran kes-kes tatatertib dan jenayah di kalangan warga udara khususnya demi kecemerlangan organisasi.