PELANCARAN PROGRAM BULAN MEMBACA AKADEMI TENTERA UDARA

IMG 20220421 WA0026 IMG 20220421 WA0027 IMG 20220421 WA0028
IMG 20220421 WA0029 IMG 20220421 204013 314

 

IPOH, 21 April 22 - Program Bulan Membaca Akademi Tentera Udara (ATU) bagi tahun 2022 yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Akademi telah dilancarkan bertempat di Auditorium Nuri ATU dan mendapat sambutan menggalakkan daripada seluruh warga pangkalan. Majlis pelancaran dan gimik perasmian program ini telah disempurnakan oleh Komandan Akademi Tentera Udara, Kol Junairi bin Baharom TUDM.

Majlis yang dihadiri seramai 100 orang terdiri daripada pegawai dan semua peringkat anggota termasuk kakitangan awam akademi diteruskan lagi dengan taklimat pelaksaanaan program serta kemuncak acara adalah aktiviti “Jom Membaca 10 Minit” yang dijalankan serentak seluruh Malaysia tepat jam 11 pagi.

Program anjuran Perpustakaan dan Pejabat Pendidikan ini akan berlangsung selama dua bulan iaitu mulai 21 April sehingga 21 Jun 2022. Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang sepanjang program ini berlangsung. Antaranya adalah Pertandingan Membaca Terbanyak, Pertandingan Ulasan Buku, Pertandingan Video Membaca Paling Kreatif, serta taklimat U-Pustaka dan lain-lain lagi. Hadiah menarik turut menanti para pemenang.

Program ini bertujuan untuk meransang minat dan memupuk amalan membaca dalam kalangan warga akademi agar menjadi satu gaya hidup dan budaya seiring dengan hasrat Komandan untuk melahirkan warga ATU yang berintelektual, berfikiran kritis dan kreatif.

Dalam ucapan perasmian, beliau turut menekankan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Udara iaitu Pemerkasaan dan Pengupayaan Warga Udara melalui amalan membaca. Amalan ini berupaya meningkatkan kecerdasan emosi (EQ) serta kecerdasan intelektual (IQ) seseorang. Dengan kebolehan seumpamanya, membuatkan seseorang menguasai pelbagai ilmu lantas membangunkan kompetensi peribadi anggota berkenaan. Majlis tersebut berlangsung dengan penekanan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.