![]() |
![]() |
![]() |
SENDAYAN, 20 Februari 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Induk Percetakan Borang Angkatan Tentera/Awam (JKIP BATM) Siri 59/2025 telah berjaya diadakan di Bilik Mesyuarat Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara, Pangkalan Udara Sendayan. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Logistik Tentera Darat, Brig Jen Mohd Ridza bin Deris selaku Pengerusi JKIP BATM. JKIP BATM Siri ini telah dikoordinasikan oleh MTU-Materiel sebagai sebahagian daripada penggiliran penganjuran mesyuarat yang memastikan penglibatan menyeluruh setiap perkhidmatan ATM.
Mesyuarat JKIP merupakan platform tertinggi di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pengurusan dan penyelarasan borang ATM serta borang awam berkaitan. Ia dihadiri oleh wakil daripada Markas ATM – Bahagian Logistik Pertahanan (BLP), Markas ATM-Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK), Markas Logistik Tentera Darat (MPLTD), Markas Tentera Laut – Materiel dan Markas Tentera Udara – Materiel, Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), 91 Depot Pusat Kor Odnans Diraja (DPOD) dan Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU).
Antara agenda utama mesyuarat ini termasuk perbincangan mengenai tajaan baru borang, tajaan borang usang (obsolete), pindaan borang serta status borang aktif dan tidak aktif dalam ATM. Mesyuarat ini bertujuan memastikan sistem dokumentasi dan percetakan borang ATM terus relevan serta memenuhi keperluan operasi semasa.
Sebagai aktiviti sampingan, ahli mesyuarat turut mengadakan lawatan ke Malaysian Armed Forces Equestrian Centre (MAFEC) yang terletak di Pangkalan Udara Sendayan. Lawatan ini memberikan peluang kepada peserta untuk mengenali dengan lebih dekat fasiliti berkuda yang dimiliki oleh ATM serta peranannya dalam pembangunan sukan berkuda dalam ketenteraan.