ALOR SETAR, 23 Apr 22 - Mesyuarat Agung Tahunan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Udara Kolej Tentera Udara (KTU) telah diadakan bertempat di Dewan Banquet OMQ KTU dan dihadiri seramai 300 ahli BAKAT Udara KTU.
Komandan Kolej Tentera Udara, Brig Jen Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM, telah merasmikan mesyuarat agung tersebut. Turut hadir ialah Pegawai Eksekutif Kolej, Kol Rizam bin Ibrahim TUDM, Pegawai-pegawai Memerintah, Ketua-ketua Cawangan dan Unit Lodger yang bernaung di bawah pemerintahan KTU.
Selesai perasmian, mesyuarat agung tahun ini telah dipengerusikan oleh Lt Kol Nesam Banu binti Mohammad Fahmi TUDM selaku Pengerusi BAKAT Udara KTU. Di majlis sama, Pengerusi BAKAT Udara KTU turut menyampaikan Sijil Penghargaan BAKAT dan cenderahati kepada Ketua-ketua Biro dan AJK yang telah memberikan komitmen serta mengharumkan nama BAKAT KTU bagi sesi 2021/22.
Mesyuarat pada kali ini turut membincangkan pelantikan Ketua-ketua Biro, AJK dan AJKK bagi Tahun 2022, Pembentangan Laporan Kewangan 2021 sehingga Mac 2022 dan Perancangan Aktiviti BAKAT 2022 serta perbincangan usul-usul daripada ahli BAKAT yang hadir.
Bagi membantu menjana ekonomi ahli BAKAT, beberapa gerai telah dibuka di hadapan dewan untuk ahli-ahli BAKAT serta tetamu berkunjung selepas selesai mesyuarat serta membeli belah sempena menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Tahniah di atas pelantikan Ketua-ketua Biro, AJK dan AJKK yang baru bagi sesi 2022/23 dan semoga BAKAT Udara KTU dapat terus menjalankan fungsi dan berperanan khususnya di dalam menjaga kebajikan ahli dan keluarga warga TUDM khususnya.