IPOH, 1 Apr 23 - Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAKAT Akademi Tentera Udara (ATU) bagi tahun 2023 telah dirasmikan oleh Komandan Akademi Tentera Udara, Kol Junairi bin Baharom TUDM bertempat di Dewan Rajawali, ATU. Turut hadir semasa majlis perasmian tersebut ialah Ketua Cawangan Tadbir, Lt Kol Mohamad Zumairi bin Abdullah TUDM selaku Penasihat BAKAT ATU.
Puan Salmiah binti Saud selaku Pengerusi BAKAT ATU mempengerusikan mesyuarat ini yang dimulakan pada jam 0900 diteruskan dengan pembentangan Laporan Kewangan oleh Bendahari seterusnya pembentangan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun 2022 dan perancangan aktiviti bagi tahun 2023 oleh Ketua-ketua BIRO.
Turut diadakan di dalam majlis ini adalah perlantikan Ketua-ketua BIRO, AJK dan AJKK bagi Sesi 2023/2024, Majlis Serah Terima Tugas bagi Ketua-ketua BIRO yang telah bertukar keluar dan yang baharu dilantik. Selain itu, penyampaian Sijil Penghargaan BAKAT kepada AJK & AJKK BAKAT Sesi 2022/2023 yang telah memberikan sokongan yang utuh dan jitu dalam setiap aktiviti BAKAT ATU Ipoh. Pelaksanaan Mesyuarat AGM BAKAT ATU juga turut mengambil kesempatan bagi penyerahan sumbangan kepada isteri anggota yang baru sahaja melahirkan cahaya mata serta anak anggota yang menghidap penyakit kronik.
Pengerusi BAKAT ATU serta beberapa wakil Ketua Biro juga berbesar hati melakukan lawatan kebajikan ke atas ahli BAKAT yang mempunyai anak kurang upaya bagi meringankan beban dan memberi sokongan untuk menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan. Sikap prihatin yang dizahirkan sejajar dengan fungsi BAKAT sebagai sebuah persatuan yang sentiasa mendokong organisasi TUDM.
Mesyuarat Agung Tahunan BAKAT ATU ini telah dihadiri oleh ahli BAKAT ATU seramai 163 orang iaitu kehadiran lebih 90 peratus seperti yang disasarkan melibatkan anggota, isteri-isteri Pegawai serta pasangan anggota LLP Akademi Tentera Udara. Bersama Berbakti!