Lembah Bidong, Setiu - MAFEC telah mengambil bahagian di dalam Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong, Setiu, Terengganu pada 17 – 19 Mac 2023.
Kejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu kali ini telah disertai oleh pelbagai persatuan dan kelab ekuestrian dari dalam dan luar negara. Antaranya adalah Legendary Endurance Singapore, Faro Farm Endurance Thailand, Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), State of Terengganu Endurance Team (STET), Royal Kelantan Endurance (RKE), Best Endurance Team dan lain-lain kelab ekuestrian. Pada kejohanan kali ini, Brig Jen Dr Norazrin bin Shamsudin TUDM selaku Pengerusi Ekuestrian ATM telah dilantik sebagai Ground Jury pertandingan.
Pada 17 Mac 2023, seramai 91 peserta telah menyertai Kejohanan Kuda Lasak Piala Dato’ Che Mat Din bagi kategori CEN 40 KM. MAFEC telah menghantar seramai 4 atlet iaitu Kpl Abdul Rafizan bin Razak, Kpl Wan Hasmadi bin Wan Hassan, LU I Muhammad Syahir Hakimi bin Rahman Razak, dan LUK Brandon James Anak Mikekabli. Tiga daripada empat atlet MAFEC telah berjaya menamatkan pertandingan ini manakala LUK Brandon James telah terkandas di dalam kejohanan kali ini. Bagi acara sampingan iaitu kategori VIP 15 KM, MAFEC telah menghantar Mej Mohd Syukri bin Saari TUDM sebagai wakil untuk menyertai pertandingan ini.
Pada 18 Mac 2023, seramai 26 peserta telah menyertai Kejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu bagi kategori CEN 80 KM. MAFEC telah menghantar dua orang atlet iaitu Sjn Mohamad Syamil bin Azizan dan Sjn U Ahmad Hafiz bin Dazlan. Sjn Mohamad Syamil berjaya menamatkan pertandingan manakala Sjn U Ahmad Hafiz telah terkandas di dalam kejohanan kali ini.
Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah meluangkan masanya untuk menghadiri dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada peserta-peserta. Atlet MAFEC yang berjaya pada kejohanan kali ini adalah Sjn Mohammad Syamil telah berjaya merangkul tempat kelima bagi kategori CEN 80 KM. Beliau juga telah menerima medal, sijil dan wang tunai sebanyak RM 200.00. Manakala Mej Mohd Syukri TUDM berjaya mendapat tempat kedua bagi kategori VIP 15 KM. Beliau telah menerima medal, sijil dan wang tunai sebanyak RM 400.00.
Tahniah diucapkan kepada pasukan MAFEC dan semua atlet yang berjaya menamatkan pertandingan dalam kejohanan ini. Semoga kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin semangat kepada keluarga sukan ekuestrian ATM dan seterusnya mengharumkan nama ATM diperingkat antarabangsa.