LAWATAN TAPAK PROJEK KESELAMATAN DAN PERTAHANAN PANGKALAN UDARA GONG KEDAK

1 2 3
4 5 6

 

GONG KEDAK, 13 Feb 24 – Lawatan Tapak Projek Keselamatan dan Pertahanan Pangkalan Udara Gong Kedak telah dihadiri oleh Datuk Zul Hadi bin Ahmad, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam (BKKA) Kementerian Ekonomi yang diiringi oleh Mej Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM, AKS Bahagian Perancangan dan Pembangunan, MTU. Lawatan ini turut disertai oleh badan berkepentingan dalam projek ini termasuk wakil daripada Kementerian Pertahanan, BKKA dan Bahagian Pengurusan Nilai Kementerian Ekonomi, Jabatan Kerja Raya serta beberapa agensi pihak berkuasa tempatan.

Tujuan lawatan ini dilaksanakan adalah untuk melihat lokasi tapak projek dengan lebih dekat dan membincangkan skop-skop perlaksanaan projek keselamatan dan pertahanan pangkalan serta perkara yang boleh diselaras pada peringkat awal yang merangkumi pagar perimeter anticut anticlimb, jalan perimeter, CCTV dan menara pemerhati.

7 8 9
10 11 12

 

Aturcara diteruskan dengan sesi taklimat yang bertempat di Auditorium No 12 Skuadron dimulai oleh Komander Pangkalan, Kol Mohd Faizal bin Abu Bakar TUDM dengan taklimat berkenaan Pentadbiran Lawatan. Seterusnya, Taklimat Projek telah disampaikan oleh Kapt Mohamad Hafiz bin Zainol Abidin TUDM, PS 3 Projek merangkap Pegawai Koordinator Projek dan diakhiri dengan Taklimat Konsep Projek yang telah disampaikan oleh Puan Ir Munira Mat Zain, Jurutera Awam Kanan JKR.

Agenda Lawatan diteruskan dengan lawatan ke tapak projek. Delegasi lawatan telah dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan membuat tinjauan udara dengan menaiki pesawat EC725 dan kumpulan lain melihat tapak projek melalui jalan darat dengan menaiki kenderaan yang telah disediakan oleh pihak pangkalan bagi melihat dan mengesahkan kerosakan pagar sedia ada dan keadaan muka bumi di tapak projek yang akan dilaksanakan.

Lawatan kerja ini telah diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan. Diharap dengan perlaksanaan lawatan ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat berinformasi kepada badan berkepentingan yang hadir dan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya kelak.