SEREMBAN, 8 Apr 21 - Satu program lawatan sambil belajar yang dikoordinasikan oleh penuntut KPKT siri 2/21 telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Unit Integriti (UI) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Seremban.
Penganjuran lawatan ini adalah bertepatan dengan salah satu modul di dalam kurikulum kursus ini di mana objektifnya untuk melihat dan memahami struktur organisasi Unit Integriti awam dan memberi pendedahan terhadap pengoperasiannya agar ianya dapat memberi manfaat di dalam urusan pentadbiran Cawangan Tadbir TUDM amnya.
Disamping itu, lawatan ini juga dapat dijadikan sebagai satu platform yang baik untuk perkongsian pandangan atau informasi bermanfaat dalam aspek pengurusan integriti yang boleh diamalkan secara bersama antara TUDM dan Kerajaan Negeri Sembilan amnya.
Lawatan ini telah dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YBhg Dato' Masri bin Razali disusuli pembentangan taklimat organisasi yang disampaikan oleh Ketua Unit Integriti, Puan Roslina binti Azali.
Turut serta dalam lawatan ini adalah Pegawai Memerintah INSTAR, YBhg Lt Kol Hamdan bin Ahmad TUDM, pegawai-pegawai serta jurulatih dari INSTAR.