LABUAN, 9 Feb 21 - Komander Pangkalan Udara Labuan, Brig Jen Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM telah menyampaikan sumbangan kepada para petugas Op PENAWAR di Labuan dalam rangka lawatan pemantauan di Sekatan Jalanraya (SJR) 1 di Jalan Tun Mustapa dan SJR 2 di Jalan Patau-Patau.
Lawatan tersebut juga manifestasi keprihatinan Komander Pangkalan terhadap petugas barisan hadapan dalam Op PENAWAR yang melibatkan anggota TUDM Pangkalan Udara Labuan iaitu Skuadron 216 HANDAU selain anggota dari pasukan sahabat iaitu PDRM, TDM dan TLDM.
Turut bersama mengiringi Komander Pangkalan adalah Ketua Skuadron 216 HANDAU, Mej Shahruzzaman bin Sulaiman TUDM dan Pegawai Perantara ATM Op PENAWAR Labuan; Kapt Mohd Dhany bin Mohamad Sarip TUDM. Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada petugas sebagai tanda penghargaan kepada mereka.
Dalam usaha untuk membina jaringan yang utuh dalam penguatkuasaan operasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lawatan pemantauan turut disertai oleh Lt Kdr Anuar Ibrahim bin Hj Zainal Abidin TLDM mewakili Unit Pengawasan Senggara TLDM (UPST) Timur, Kapt Norazuan bin Mohamad selaku Pegawai Memerintah 51 Kompeni Komposit Kor Perkhidmatan Diraja Labuan, DSP Mohd Ibrahim bin Ghani selaku Pemangku Ketua Polis Daerah W.P. Labuan dan Encik Mohd Hafiez bin Mohd Daud selaku Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan.
Lawatan yang dilaksanakan ke atas petugas khususnya yang terlibat Op PENAWAR menjadi pembakar semangat kepada para petugas atas keprihatinan dan sikap ambil berat yang ditunjukkan oleh pihak atasan. Pangkalan Udara Labuan khususnya melalui Skuadron 216 HANDAU akan terus komited dalam melaksanakan amanah menguatkuasakan Op PENAWAR di Labuan dalam usaha menyekat penularan dan melandaikan lekuk jangkitan wabak Covid-19.