KURSUS OPEN SOURCE INTELLIGENCE (OSINT) DENGAN KERJASAMA CYBERSECURITY MALAYSIA

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

CYBERJAYA, 9 Mei 23 - Cawangan Provos Marsyal TUDM telah berjaya melaksanakan kursus Open Source Intelligence (OSINT) melalui jalinan kerjasama dengan Cyber Security Malaysia. Kursus ini telah dijalankan selama dua hari pada 8 dan 9 Mei 2023 bertempat di Menara Cyber Axis, Cyberjaya, Selangor melibatkan lapan (8) Pegawai dan 12 anggota LLP daripada anggota CPM TUDM dan RISUD TUDM.

Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta kursus berkenaan teknik dan cara-cara untuk mendapatkan serta menganalisa maklumat menggunakan sumber terbuka (open source) yang boleh diakses melalui internet. Perkara ini secara tidak langsung dapat membantu Pegawai Penyiasat dalam mengumpul sebarang maklumat yang diperlukan mengenai suspek atau saksi seperti lokasi tempat tinggal, nama ahli keluarga, nombor telefon, rakan kenalan dan media sosial seseorang dengan menggunakan tools atau software yang bersesuaian.

Selain daripada itu, peserta kursus turut melaksanakan latihan praktikal berkenaan pengendalian peralatan atau aplikasi yang digunakan untuk memberi gambaran sebenar kepada mereka tentang cara-cara untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi membantu proses penyiasatan.

Secara keseluruhannya, kursus ini sebagai salah satu pelan bagi menambahnilai dan meningkatkan mutu kerja anggota CPM TUDM mahupun RISUD terutamanya Pegawai Penyiasat bagi menjalankan siasatan dengan lebih efisien dan efektif seiring dengan perkembangan teknologi.

Semoga dengan ilmu yang diberikan dapat memanfaatkan semua peserta kursus dan dapat meningkatkan kecemerlangan organisasi CPM serta RISUD khasnya dan TUDM amnya.