![]() |
![]() |
![]() |
MEDAN INDONESIA, 20 Feb 25 – Pegawai Perhubungan TUDM di Medan Indonesia, Mej Hisham Arizal bin Muhammad TUDM telah membuat kunjungan hormat kepada Ketua Polis Provinsi Sumatera Utara (Ketua Polis Negeri), Irjen Pol. Whisnu Hermawan F., S.I.K., M.H. di Markas Polisi Daerah (Mapolda) Sumatera Utara, hari ini. Delegasi kunjungan hormat ini telah diketuai oleh Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Medan Encik Shahril Nizam bin Abdul Malek manakala turut bersama adalah Ketua Canseri Encik Muhammad Amir Azam bin Mohd Hafiz, Pegawai Perhubungan PDRM di Medan ASP Ahmad Shahir bin Abdullah dan Staf Perhubungan TLDM di Medan BM KOM Mohd Zairul Nizam bin Md Lazim.
Ketua Polis Provinsi Sumatera Utara atau dikenali sebagai Kepala Kepolisian Daerah (Kapolda) Sumatera Utara amat berbesar hati menerima kunjungan hormat dari delegasi Malaysia ini. Kunjungan hormat ini dilaksanakan bagi menyantuni peranan beliau yang baru ditukarkan sebagai Ketua Polis di Provinsi Sumatera Utara.
Dalam kunjungan hormat ini, Kapolda Sumatera Utara menzahirkan agar hubungan baik ini dapat dikekalkan demi menjaga keamanan dan keselamatan dalam negeri, sempadan perairan dan ruang angkasa kedua - dua negara. Beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama, komitmen dan keperihatinan yang telah diberikan oleh Pejabat Perhubungan TUDM di Medan yang senantiasa menyokong agensi pertahanan kedua negara bagi menjamin keamanan dan kestabilan ruang angkasa di Selat Melaka.