Kejohanan Badminton Antara Perkhidmatan yang berlangsung di Pulau Pinang anjuran Tentera Darat pada 23 hingga 27 Mei 2022 di Dewan Badminton USM Pulau Pinang merupakan kejohanan terakhir bagi Kolonel Wan Mohammad Azhar Bin Wan Mamat TUDM, sebelum beliau bersara daripada perkhidmatan TUDM mulai Julai 2022.
Kolonel Wan Azhar TUDM telah mencurahkan bakti dan mewakili pasukan TUDM mulai tahun 1986 sehingga tahun 2022 (34 tahun) dan merupakan pemain badminton yang paling lama mewakili TUDM.
Sebelum ini, beliau merupakan pemain perseorangan utama bagi pasukan TUDM sehinggalah usia beliau mencecah ke 45 tahun. Setelah berusia 45 tahun, sebagai syarat utama dalam penyertaan MAKSAK, beliau telah dipilih mewakili ATM untuk acara bergu veteran.
Beliau merupakan satu - satunya pemain badminton TUDM yang memiliki sijil jurulatih, pengadil dan Pengadil Kehormat daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Beliau bergiat aktif dalam Persatuan Badminton Negeri di setiap pangkalan udara di mana beliau ditempatkan bertugas. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi bagi Persatuan Badminton Negeri Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Selain daripada pencapaian terbaik dalam acara perseorangan dan bergu di peringkat TUDM/ATM, beliau juga telah muncul sebagai juara kategori veteran bagi seluruh negeri Pahang pada tahun 2008. Pada tahun yang sama juga, beliau sekali lagi menjuarai acara veteran bagi daerah Kuantan. Dengan pencapaian terbaik tersebut, beliau telah dianugerahkan Sijil Kecemerlangan Sukan Badminton oleh Lembaga Sukan TUDM pada tahun tersebut.
Ketika bertugas di pangkalan- pangkalan udara, beliau juga telah mencurahkan khidmat bakti memberikan tunjuk ajar kepada ahli-ahli BAKAT Udara. Antaranya, beliau melatih BAKAT Udara PU Butterworth, PU Kuantan dan PU Labuan pada tahun 1986 dan diteruskan sehingga kini. Beliau juga turut melatih Ahli Jemaah BAKAT Udara buat kali terakhir tahun ini sebelum menamatkan perkhidmatan.
Lembaga Sukan TUDM dan pihak Persatuan Badminton TUDM serta seluruh warga TUDM mengucapkan terima kasih di atas khidmat serta sumbangan bakti Kolonel Wan Mohamad Azhar bin Wan Mamat TUDM mengharumkan nama TUDM. Dengan persaraan beliau dari perkhidmatan TUDM, merupakan satu kehilangan besar khususnya dalam sukan badminton. Selamat maju jaya dalam apa jua lapangan yang beliau ceburi kelak.