SENDAYAN, 9 September 2020 - Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR) telah mengadakan Program Kayuhan dan Larian Santai Merdeka dalam mendidik dan membina jati diri pegawai dan anggota agar mempunyai semangat patriotisma yang tinggi disamping menggalakkan gaya hidup sihat.
Acara kayuhan dan larian mengelilingi Pangkalan Udara Sendayan sambil mengibar jalur gemilang ini dikelolakan oleh penuntut Kursus Pembantu Pentadbiran Peningkatan Kelas 1 Siri 69/20 yang turut dibantu oleh Jurulatih Jasmani dari Sekolah Jasmani TUDM.
Pelepasan acara telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah INSTAR, Lt Kol Hamdan bin Ahmad TUDM yang turut menyertai acara berbasikal. Hadir sama memeriahkan acara adalah pegawai-pegawai, para jurulatih, staf serta penuntut INSTAR.
Terdahulu, para peserta melalui saringan pemeriksaan suhu badan (thermal scanner) di foyer INSTAR sebagai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan bagi pencegahan penularan COVID-19.