Markas Wilayah Udara 1 (MAWILUD 1) telah mengkoordinasikan Eksesais WIRA CARILAMAT 2/21 yang dilaksanakan di kawasan perairan Pulau Perhentian Besar, Terengganu pada 23 dan 24 Ogos 21. Eksesais pada kali ini dilaksanakan dengan beberapa perubahan termasuk norma baharu yang ketika ini negara dilanda krisis kesihatan global pandemik Covid-19.
Eksesais ini bertujuan untuk memperkasakan kesiagaan dan kecekapan anak kapal pesawat EC 725 AP, anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) TUDM dan kumpulan sokongan logistik. Pelaksanaan eksesais ini turut melibatkan usaha sama bersepadu antara Pasukan Khas Udara (PASKAU) TUDM, No. 10 Skuadron serta pasukan sahabat yang lain.
Latihan ini melibatkan seramai anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) TUDM yang diketuai oleh Brig Jen Meor Ahmad Kamal bin Hj Meor Termizi TUDM serta anak kapal dan juruteknik dari No. 10 Skuadron yang diketuai oleh Lt Kol Muhammad Fazri bin Md Zin TUDM. Antara latihan yang dilaksanakan di dalam eksesais ini adalah latihan Roll Up Duck dan Life Hoisting menggunakan Transaco Stretcher. Selain itu, anak kapal dan anggota PASKAU juga turut terlibat di dalam latihan Wet Winching dan Dinghy Drill bagi anak kapal No. 12 Skuadron.
Secara keseluruhannya, eksesais kali ini telah mencapai objektif yang telah ditetapkan. Hasil usaha bersepadu pelbagai agensi yang terlibat telah menjadikan eksesais ini berjaya dilaksanakan dalam memperkasa tahap kompetensi dan kesiagaan anggota TUDM sebagai persediaan sekiranya konflik sebenar berlaku.
“TUDM Mampan, Ruang Angkasa Aman”
Sentiasa Di Angkasa Raya