GONG KEDAK, 8 Nov 24 - Pejabat Agama Pangkalan Udara Gong Kedak telah menganjurkan Program Ceramah Perdana peringkat pangkalan yang diadakan di Masjid Ar-Raudhah, PU Gong Kedak.
Program ini dimulakan dengan solat fardu Margrib yang diketuai oleh ahli kariah masjid dan diteruskan dengan sesi penyampaian ceramah yang disampaikan oleh penceramah bebas, Ustaz Haji Azam Bakri bin Che Ali yang bertajuk “Bahaya Fitnah Dajjal“.
Antara intipati ceramah yang disampaikan adalah, Setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu. Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal.
Kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Oleh itu, al-Fadhil ustaz telah mengajarkan sebuah doa:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”. Riwayat Muslim.
Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal.
Semoga dengan program seumpama ini berhasrat dengan perkongsian ilmu ini sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam memantapkan iman dan akidah bagi melakukan amalan yang terbaik demi mengejar ganjaran syurga Firdaus yang dijanjikan Allah SWT.