Select your language

BENGKEL “DIA IMAM DAN SYURGAKU” PERINGKAT PANGKALAN UDARA KUCHING TAHUN 2025

1 2 3
4 5 6

 

KUCHING, 2 Disember 2025 –  Pangkalan Udara Kuching telah menganjurkan Bengkel “Dia Imam dan Syurgaku” Peringkat Pangkalan Udara Kuching Tahun 2025 yang berlangsung selama 2 hari bermula 1 Dis 25 dan telah melabuhkan tirainya pada 2 Dis 25 di Surau Al-Jahirah, Pangkalan Udara Kuching. Peserta program terdiri daripada pegawai dan anggota Pangkalan Udara Kuching. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan Udara Kuching, Kol Yusrizal bin Zain TUDM.

Antara penceramah yang hadir adalah Imam Masjid Al-Ulum, Ustaz Muhammad Hafiez bin Shafie yang menerangkan mengenai azan, praktikal dan teori. Penyelia Batalion 1 Ubat, SSjn Soiful Annuar bin Muhammad Nawi memberi penerangan berkaitan peranan dan tanggungjawab imam dan bilal dalam solat berjemaah. Penasihat Agama Pangkalan Udara Kuching, PW II Mohamad Yurmizi bin Mohamad Noor memberi pendedahan berkenaan adab menjadi imam dan bilal. Penceramah terakhir iaitu Pegawai Agama Pangkalan, Lt Ahmad Mustaqim bin Ahmad Tardzimi menerangkan berkenaan memahami pengertian rukun solat.

Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme, kefahaman dan kemahiran praktikal pegawai dan anggota dalam pengurusan ibadah di surau dan masjid. Bengkel ini memberi tumpuan kepada teknik bacaan bertajwid, adab kepimpinan dan penyelarasan tugas antara imam dan bilal untuk memastikan perjalanan solat berjemaah berjalan lancar dan penuh kekhusyukan. Bengkel ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang etika seorang imam dan bilal bahkan ianya meningkatkan kefahaman mengenai fiqh solat, termasuk isu-isu semasa.

Diharapkan bengkel ini terus memantapkan peranan imam dan bilal dalam memastikan ibadah berjemaah berjalan dengan teratur, penuh disiplin serta memberi kesan mendalam kepada masyarakat terutama warga Pangkalan Udara Kuching sepertimana tonggak keenam Perintah Ulung Panglima Tentera Udara iaitu “Melestarikan Warga Udara”.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

INTERNAL AGENCY