PUTRAJAYA, 29 Ogos 23 – Asisten Ketua Staf Materiel, Brig Jen Nor Azmi bin Abdul Rahman TUDM mewakili Panglima Tentera Udara telah menghadiri Malam Anugerah Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) 2022 yang diadakan di Dewan MAKSAK Putra, Persint 14, Putrajaya.
Malam Anugerah MAKSAK ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara merangkap Yang Dipertua MAKSAK Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.
Majlis Anugerah MAKSAK ini merupakan acara tradisi tahunan bagi mengiktiraf pencapaian badan-badan gabungan MAKSAK dan atlet perkhidmatan awam termasuk ATM yang telah mengharumkan nama Perkhidmatan Awam Malaysia dalam kejohanan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2022.
Pada majlis ini, disampaikan beberapa kategori anugerah yang diperkenalkan termasuk Anugerah Khas Wanita MAKSAK, Anugerah Khas Lelaki MAKSAK, Anugerah Olahragawan MAKSAK dan Anugerah Olahragawati MAKSAK.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam merangkap Timbalan Yang Dipertua MAKSAK Malaysia, Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed; Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim.