SEOUL, 30 Nov 24. β Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menunjukan prestasi cemerlang dalam program Inovasi Peringkat Dunia - Seoul International Invention Fair (SIIF) 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula 27 - 30 Nov 2024 di Seoul, Korea Selatan.
Pameran SIIF kali ini telah Berjaya menarik penyertaan sebanyak 519 pasukan inovasi dari lebih 32 negara. Hasil projek inovatif peserta dinilai dalam pelbagai bidang, termasuk kesihatan, alam sekitar dan teknologi maklumat. SIIF adalah program Inovasi dibawah World Intellectual Property Organization (WIPO) dan International Federation of Inventorsβs Associations (IFIA). Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) dilantik serta bertangungjawab mengurus dan membawa Kontigen Kementerian Pertahanan (MINDEF) termasuk Tim Inovasi Malaysia ke Pameran Inovasi dan Penyelidik Peringkat Antarabangsa ini.
Ketua Deligasi Inovasi TUDM, Lt Kol Mohamad Rosdzni bin Abdul Karim TUDM berjaya mengatur gerak, mengkaji serta memastikan pasukan Inovasi TUDM bersedia bersama kelengkapan dengan baik. Ketua Projek RAIN dan juga Ikon Inovasi TUDM, Mej Mohd Haziq Izzat bin Sulaiman TUDM serta Ketua Projek RWR B-sensing, Mej Hasif bin Yahaya TUDM masing-masing telah memberi persembahan yang cemerlang semasa penilaian Juri. Moderator dan Ikon Inovasi Kementerian Pertahanan, Mej Hairul Zaimy bin Ibrahim TUDM juga sama-sama berjuang mengatur strategi hebat serta memberi kesan luar jangka terhadap Projek Inovasi TUDM bagi memastikan TUDM dan MINDEF mampu bersaing dengan pencipta dari seluruh Dunia.
Penilaian Projek Inovasi telah dilaksanakan pada 27 Nov 24 oleh 2 Juri Professional Korea Selatan bersama seorang juru bahasa. Proses penilaian mengambil masa 15 minit setiap projek meliputi pelbagai aspek termasuk impak kepada masyarakat Global.
Projek Inovasi RAIN telah merangkul 1 Pingat Emas dari Penilaian SIIF dan 1 Pingat Emas (Thailand Invention Special Award). Projek Inovasi RWR B-Sensing merangkul 1 Pingat Perak dari Penilaian SIIF. Selain itu TUDM juga menerima 1 Emas (Vietnam Innovation Special Award) yang diberikan kepada Projek RAIN dan RWR B-Sensing.
Semangat dan kesungguhan yang ditunjukan oleh 4 Pegawai mewakili TUDM telah berjaya membawa pulang keseluruhan 3 Pingat Emas dan 1 Pingat Perak menjadi kebanggaan seluruh Warga TUDM. Ini adalah sumbangan kemenangan terbesar Inovasi TUDM peringkat dunia kepada ATM dan Kementerian Pertahanan Malaysia.
Selain kejayaan pingat, Ikon Inovasi TUDM dan Ikon Inovasi MINDEF juga berjaya mendapatkan pujian, penghargaan serta kolaborasi idea (World Innovation & collaborative Idea Appreciation) dari 8 Negara (Korea, Indonesia, Morroco, Thailand, Taiwan, Philippines, Saudi Arabia, Vietnam).
Wakil Sekretariat Inovasi MINDEF, Pn Syaidatul Azla binti Abdul Malek menzahirkan ucapan terima kasih serta menghargai pengorbanan Pasukan Inovasi TUDM membantu memberi kejayaan luar jangka kepada MINDEF. Selain Tim Inovasi TUDM, turut bersama-sama menyumbang kejayaan kepada ATM dan MINDEF adalah Tim Inovasi TLDM dan TDM masing-masing memperolehi 2 Pingat Perak dan 1 Pingat Gangsa serta Singapore Special Award.
Kemenangan TUDM yang mewakili Malaysia ini adalah bukti hasil inisiatif dan sokongan kepimpinan tertinggi TUDM kepada pencipta dan anggota dalam bidang inovasi telah mendapatkan kesan dan impak positif yang diinginkan oleh perkhidmatan.
Kemenangan pasukan inovasi TUDM bukan sahaja satu pencapaian luar biasa bagi negara ini, tetapi juga satu langkah ke hadapan dalam memperbaiki isu global. Harapan TUDM adalah kemenangan ini akan menyuntik semangat warga TUDM untuk terus menyumbang idea kreatif serta mendorong lebih banyak inisiatif inovasi diberikan bagi membantu pencipta atau penyelidik TUDM, ATM dan MINDEF untuk terus berjaya dimasa hadapan.