BINTULU, 23 November 2024 - Skuadron 330 TUDM, Kota Samarahan telah berjaya melaksanakan program βZiarah Muhabbahβ di bawah koordinasi bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Muhaimin Skn 330 TUDM bertempat di Masjid Darussalam, Bintulu, Sarawak.
Seramai 20 orang penerima yang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan anak-anak yatim telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas. Menerusi program sebegini, Skuadron 330 telah menunjukkan komitmen mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sosial menyantuni dan menghulurkan sumbangan kebajikan khususnya kepada golongan asnaf yang berkelayakan di dalam kariah Masjid Darussalam.
Program ini turut membuka ruang kepada para peserta program untuk beramah mesra dengan para asnaf dan penduduk setempat yang hadir untuk mengeratkan lagi ukhwah dan keharmonian serta meningkatkan semangat perpaduan khususnya dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum.
Menyantuni golongan asnaf dalam usaha untuk mengeratkan silaturahim dengan komuniti setempat juga dilihat dapat mendukung inisiatif Kementerian Pertahanan, Teras Empat Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021- 2025 iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (Civil Military Cooperation - CIMIC) Demi Pertahanan Menyeluruh bagi meringankan beban golongan asnaf dan fakir miskin di kawasan yang telah dikenalpasti di sekitar Bintulu, Sarawak.
Program yang saban tahun dianjurkan ini telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah Skn 330 TUDM, Lt Kol Zainal Abidin bin Yahia@Yahaya TUDM dan disertai bersama penduduk setempat yang terdiri dari kalangan Ahli Jawatankuasa Masjid Darussalam, Ketua-ketua Kaum serta penduduk sekitar kariah Masjid Darussalam, Bintulu, Sarawak.
Program ini juga merupakan penganjuran bersama program Kembara Kanang Skn 330 yang turut disertai oleh 20 orang pegawai dari Skn 330 TUDM. Diantara Objektif penganjuran program Kembara Kanang adalah untuk memupuk semangat kerjasama dan setiakawan dikalangan pegawai-pegawai Skn 330 TUDM bagi melihat sendiri keindahan sosio budaya dan adat resam masyarakat Bumi Kenyalang disamping menerapkan 5 Nilai Teras Utama di dalam TUDM agar tersemat di dalam jiwa terutama dikalangan pegawai muda Skn ini di dalam mendepani cabaran disepanjang perkhidmatan.
Para peserta program juga turut membuat kunjungan dan ziarah ke beberapa lagi buah masjid lain di sekitar daerah Miri dan Bintulu, Sarawak.