ROMPIN, 8 Sep 21 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM hari ini telah menyempurnakan upacara Penganugerahan Beret Biru Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Penutup Kursus Komando TUDM Siri 28/21 bertempat di Pantai Hiburan, Rompin, Pahang Darul Makmur.
Seramai tiga (3) pegawai dan 27 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dianugerahkan beret biru yang merupakan kebanggaan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) seterusnya pelengkap Penutup Kursus Komando TUDM Siri 28/21 yang diketuai oleh Lt Muhammad Nur Syazwan bin Abdul Rahman TUDM sebagai Ketua Penuntut kursus. Penuntut Kursus Komando TUDM ini telah menjalani beberapa peringkat latihan yang menggabungkan seluruh kekuatan mental dan fizikal setiap para penuntut. Setiap penuntut perlu menyemat semangat juang yang jitu dan keyakinan serta sikap profesionalisme yang tinggi bagi menghadapi setiap latihan mencabar agar dinilai benar-benar layak untuk memakai beret biru dan menjadi seorang anggota PASKAU. Pada hari ini juga, mereka turut melaksanakan demonstrasi keupayaan khas mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi semasa kursus.
Kursus Komando TUDM Siri 28/21 dilaksanakan di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), TUDM Bukit Ibam bermula dari 20 Jun 21 hingga 10 September 21 di bawah tanggungjawab Pegawai Memerintah SLTT, Lt Kol Jafridin bin Bahari TUDM. Kursus ini dijalankan selama 12 minggu dan ianya dilaksanakan di SLTT bagi fasa latihan peringkat pangkalan selama 4 minggu dan di sekitar Daerah Rompin, Pahang Darul Makmur bagi fasa latihan luar pangkalan selama 8 minggu. Seramai 8 orang Pegawai dan 91 orang LLP telah melapor diri untuk Latihan Pra Kursus Komando TUDM namun akhirnya tiga (3) orang pegawai dan 27 orang LLP yang berjaya menamatkan kursus.
Penganugerahan Beret Biru PASKAU merupakan anugerah yang didambakan oleh penuntut yang berjaya menamatkan Kursus Komando TUDM. Pelatih terbaik Kursus Komando TUDM Siri 28/21 dinobatkan kepada Lt Muhammad Nur Syazwan bin Abdul Rahman TUDM. Dilahirkan pada 26 November 1997, anak kelahiran Batu Pahat, Johor Darul Takzim, anak kepada pasangan En. Abdul Rahman bin Mawi dan Puan Fatimah binti Damia merupakan anak ketiga daripada empat beradik. Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Kroh dan Maktab Rendah Sains Mara Parit, Perak ini menyertai TUDM setelah tamat pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Didorong oleh minat yang mendalam untuk menceburi bidang ketenteraan, pada 16 Mei 2016, beliau telah mengangkat sumpah menyertai perkhidmatan TUDM di dalam Cawangan Tadbir dan ditempatkan bertugas sebagai Ajutan di Pusat Latihan Terbang 3, Kuantan. Berpegang kepada prinsip "Be Better Every day, Achieve What You Want", beliau membuktikan kesungguhan dan semangat yang kental sehingga akhirnya dipilih sebagai Pelatih terbaik Kursus Komando TUDM Siri 28/21.
Panglima Tentera Udara di dalam ucapan selepas menyempurnakan penganugerahan beret biru mengucapkan tahniah dan syabas kepada para penuntut yang kini telah layak digelar anggota PASKAU setelah berjaya mengharungi segala pahit getir dan pelbagai cabaran untuk mencapai kemuncak kejayaan kursus yang mencabar ini. Kursus ini memberi penekanan kepada kemampuan fizikal yang luar biasa di samping membentuk kekuatan mental yang tinggi sebagai keperluan asas bagi mana-mana anggota komando agar dapat mengharungi segala kesukaran dan cabaran ketika melaksanakan misi operasi khas. Beliau turut menyatakan bahawa di samping membentuk keupayaan fizikal dan mental yang tinggi, penekanan dan penghayatan kepada lima (5) teras utama dalam TUDM iaitu integriti, kecemerlangan, keberanian, semangat setia kawan dan kepentingan perkhidmatan diutamakan telah diimplimentasikan dalam kursus ini bagi melahirkan modal insan yang menjadi kebanggaan TUDM. Beliau mengingatkan para penuntut, agar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai anggota PASKAU dalam melaksanakan operasi-operasi khas yang mencabar dan berisiko tinggi. Anggota Komando TUDM sewajarnya melengkapkan penguasaan diri dalam kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dan pelbagai aspek teknikal, taktikal, operational dan strategik bagi menentukan setiap anggota PASKAU berstatus "mission capable" untuk melaksanakan setiap misi dan operasi.
Beliau juga turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada para jurulatih yang telah bertungkus lumus tanpa mengira masa dan tenaga bagi menjayakan kursus ini, dan tidak terkecuali kepada ibu, bapa, penjaga, isteri dan anak-anak serta keluarga penuntut kerana dengan berkat doa daripada merekalah, kini perwira dan perajurit telah berjaya menamatkan kursus hingga pada hari ini meskipun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19. Turut hadir menyaksikan upacara ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan beberapa Pegawai Kanan TUDM.
Tahniah kepada semua penuntut yang telah berjaya menamatkan kursus dan dianugerahkan Beret Biru Pasukan Khas TUDM (PASKAU). Semoga perjalanan baharu yang ditempuhi selepas ini menjadi bakti dan jasa untuk agama, bangsa dan negara.