PANGLIMA TENTERA UDARA MENYAKSIKAN SERAH TERIMA TUGAS PANGLIMA PENDIDIKAN DAN LATIHAN UDARA

2 3 5
6 1 7

 

SENDAYAN, 1 Julai 22 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM hari ini telah menghadiri Perbarisan Serah Terima Tugas Panglima Pendidikan dan Latihan Udara yang diadakan di Padang Kawad Markas Pemerintahan Pendidikan Latihan Udara (MPPLU). Pangkalan Udara Sendayan.

Sebaik tiba di medan perbarisan, Panglima Tentera Udara telah mengambil tabik hormat daripada anggota perbarisan yang terdiri daripada 11 pegawai dan 152 anggota Lain Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Noor Fazdli bin Ahmad TUDM selaku Ketua Perbarisan manakala Ajutan Perbarisan ialah Kapt Mohd Hafizi bin Hamid TUDM serta diiringi oleh Pancaragam Kolej Tentera Udara yang terdiri daripada 25 anggota LLP di bawah pimpinan PW U II Mohd Saad bin Abdullah.

Dalam perbarisan pada hari ini, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM menyerahkan tugas Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (PPLU) kepada Lt Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM dengan menandatangani dokumen Serah Terima Tugas. Sebagai simbolik peralihan pemerintahan, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM menyerahkan sijil serah terima tugas dan tongkat kuasa kepada Lt Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM dengan disaksikan oleh Panglima Tentera Udara.

11 14 10
13 15 16
17 18 19

 

Seterusnya, setelah Panglima Tentera Udara beredar meninggalkan medan perbarisan selepas selesai upacara serah terima tugas, Lt Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM telah mengambil tabik hormat daripada anggota perbarisan sebagai Panglima Pendidikan dan Latihan Udara yang baharu.

Turut hadir ke perbarisan ialah Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM, AKS-AKS, Pegawai-pegawai Memerintah, Komandan-Komandan, pegawai-pegawai kanan TUDM serta warga MPPLU dan PU Sendayan termasuk kakitangan awam.

Terdahulu, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM telah diraikan dalam Perbarisan Penghargaan berkonsepkan perbarisan statik sebagai penghargaan dan penghormatan daripada seluruh warga MPPLU dan Pangkalan Udara Sendayan di Padang Kawad MPPLU. Beliau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan di atas segala kerjasama, komitmen serta sokongan padu yang diberikan kepada beliau oleh semua termasuk Komandan-Komandan, Pegawai-pegawai Memerintah pusat-pusat latihan di bawah naungan MPPLU dan PU Sendayan selama 1 tahun 7 bulan beliau menerajui MPPLU sebagai Panglima Pendidikan dan Latihan Udara yang ke-16. Beliau berharap kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi diberikan kepada PPLU yang baharu, serta dapat meneruskan kecemerlangan MPPLU. Beliau turut diraikan dalam acara “send off’ dan menerima ucapan terima kasih serta penghargaan daripada warga udara di bawah naungan.

20 21 22
23 8 9

 

Sekalung penghargaan dan tahniah daripada seluruh warga TUDM kepada Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM atas jasa dan bakti selama memegang jawatan PPLU dan kepada Lt Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM yang kini menggalas tugas dan amanah sebagai PPLU ke-17. Semoga MPPLU bakal melakarkan sejarah yang tersendiri ke arah kecemerlangan di bawah kepimpinan panglima pemerintahan yang baharu.