LABUAN, 26 Jan 22 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM meneruskan siri lawatan rasmi ke Pangkalan-pangkalan, Skuadron dan unit. Dalam siri lawatan kali ini beliau meneruskan lawatan rasmi ke Pangkalan Udara Labuan (PU Labuan) yang turut disertai isteri Panglima Tentera Udara iaitu Puan Sri Norainy binti Shahar Alam selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara (JTBU). Ketibaan Panglima Tentera Udara dan delegasi telah disambut oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Dato' Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM dan isteri, Datin Maznah binti Haji Johari selaku Pengerusi BAKAT Udara PU Labuan serta kumpulan eksekutif pangkalan.
Sebaik tiba di PU Labuan, Panglima Tentera Udara telah menyempurnakan Perasmian Dusun Durian PU Labuan. Penubuhan dusun ini adalah cetusan idea Komander PU Labuan dengan matlamat utama untuk memberi manfaat pada semua warga PU Labuan. Sebanyak 107 anak pokok terdiri daripada durian jenis Musang King, Duri Hitam dan IOI ditanam disini di samping pelbagai jenis lagi pokok buah-buahan yang lain. Acara perasmian dusun ini disempurnakan dengan simbolik penanaman pokok durian oleh Panglima Tentera Udara dari jenis pokok durian Musang King.
Beliau seterusnya dibawa melawat ke Cawang Kejuruteraan dan No. 14 Skuadron serta diberikan taklimat berkenaan pengoperasian Cawang Kejuruteraan dan Skuadron. Beliau kemudiannya meluangkan masa bertemu muka menyantuni serta memberi kata nasihat dan semangat kepada warga No. 14 Skn agar sentiasa komited dalam melaksanakan tugas dan operasi yang diamanahkan demi matlamat TUDM selaras dengan pelan pembangunan Keupayaan TUDM atau CAP 55.
Setelah itu, beliau dan delegasi melawat No. 5 Skn dan telah diberi taklimat berkenaan pengoperasian EC 725 AP bersama Long Range Acoustic Device (LRAD) yang digunakan oleh pesawat tersebut. Selain itu, beliau juga melihat pameran SAR (Search and Rescue) yang mempamerkan peralatan yang digunakan oleh Rescue Specialist PASKAU antaranya adalah Resqtec Hydraulic dan Inflatable Jack System.
Beliau kemudiannya meneruskan lawatan ke No. 6 Skn. Panglima Tentera Udara telah mendengar taklimat ringkas berkenaan skuadron dan pekembangan semasa skuadron dan aset. Beliau juga telah menyantuni dan beramah mesra bersama warga No.6 Skn di samping turut memberikan kata penghargaan kepada skuadron kerana komited dan beroperasi dengan baik walaupun ketika negara berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19. Beliau turut berharap agar setiap peringkat pegawai dan anggota LLP untuk melaksanakan tanggungjawab dalam tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.
Pada lawatan kali ini, kehadiran Panglima Tentera Udara amat dinantikan apabila beliau menyempurnakan Majlis Pecah Tanah untuk pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) PU Labuan. Projek pembinaan RKAT PU Labuan ini melibatkan 97 unit RKAT merangkumi Kelas B, C, E dan G. Bagi tapak perasmian pecah tanah ini nanti akan menampung anggota berkeluarga berpangkat Kpl dan kebawah yang dijangka siap pada Jun 2024. Dengan pelaksanaan projek pembinaan RKAT ini, ianya dapat menaikkan moral serta semangat warga TUDM khasnya anggota berpangkat Koperal Udara ke bawah dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan menitikberatkan aspek kemudahan infrastruktur dan kebajikan anggota TUDM khususnya.
Dalam masa yang sama,lawatan kebajikan JTBU dilaksanakan oleh Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara, Puan Sri Norainy binti Shahar Alam. Puan Sri Norainy dan delegasi dibawa melawat hasil kraftangan di Rumah Bakat Udara PU Labuan. Puan Sri Norainy seterusnya menyampaikan sumbangan kebajikan kepada dua ahli BAKAT Udara dan 4 anak ahli BAKAT Udara yang menghidap sakit kronik. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung dan sebagai tanda keprihatinan serta sokongan moral kepada mereka yang diuji selari dengan teras utama kewujudan BAKAT iaitu mengutamakan kebajikan.
Mengakhiri lawatan di PU Labuan, Panglima Tentera Udara dan delegasi telah melawat Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2). Beliau disambut oleh Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato' Hj Shamsudin bin Kassim TUDM serta eksekutif markas. Beliau telah diberikan taklimat ringkas berkenaan pengoperasian dan kesiagaan anggota yang bertugas selaras dengan matlamat MAWILUD 2 iaitu, "Mempertahankan kedaulatan dan keutuhan Wilayah Udara 2, serta kepentingannya melalui penggunaan kuasa udara".
Turut serta mengiringi Panglima Tentera Udara adalah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Mantan Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Mej Jen Dato' Ir Razip bin A. Samad TUDM; Asisten Ketua Staf Materiel, Mej Jen Dato' Zainal bin Abdul Manaf TUDM; Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Dato' Hj Mohd Suhaimi bin Hj Sahri TUDM; Ketua Pengarah Sekretariat, Brig Jen Dato' Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM yang turut disertai isteri bagi lawatan BAKAT Udara.