SUBANG, 14 Jun 24 β Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) telah melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah ATM 2024 peringkat MPOU di Auditorium Air Warfare Centre (AWC).
Ikrar Bebas Rasuah ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pucuk kepimpinan tertinggi ATM menyokong penuh perlaksanaan kepada semua peringkat pegawai dan anggota ATM dalam memperkukuhkan nilai integriti dan sifar rasuah di kalangan warganya.
Lafaz Ikrar Bebas Rasuah ATM ini dipimpin oleh Pegawai Integriti MPOU, Mej Mohd Izwandi bin Ibrahim TUDM yang turut dihadiri oleh Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM, Ketua Staf MPOU, Mej Jen Norli Hisham bin Alwi TUDM, barisan pegawai-pegawai kanan serta seluruh warga termasuk kakitangan awam yang bertugas di MPOU.
Seusai lafaz ikrar, Panglima Operasi Udara dalam ucapan beliau mengutuk sekeras-kerasnya amalan rasuah yang kini menjadi barah dalam sesuatu organisasi dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat.