Mesyuarat Bilateral Air Staff Talks Siri 6/24 antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Turkish Air Force (TURAF) telah berlangsung dengan jayanya dari 25 hingga 29 November 2024. Mesyuarat ini dipengerusikan secara bersama oleh Assisten Ketua Staf Operasi dan Strategi, Mej Jen Datoβ Hj Saharuddin bin Mansor TUDM dan Lt Gen Rafet Dalkiran, Chief of Staff Turkish Air Force di Pusat Hospitaliti TUDM (PHU), Pulau Pinang.
Mesyuarat bilateral ini merupakan mesyuarat tahunan yang dilaksanakan secara timbal balas mengikut persetujuan kedua belah pihak dan tahun ini TUDM telah diberi tanggungjawab menjadi tuan rumah. Dalam mesyuarat ini, pelbagai perkara dan inisiatif telah dibincangkan termasuk latihan bersama, pertukaran pegawai dan program lawatan untuk masa akan datang.
Selain itu, mesyuarat ini juga menjadi platform untuk pertukaran maklumat dan pandangan mengenai pembangunan keupayaan angkatan udara serta amalan terbaik dalam merencana pertahanan udara masa hadapan.
Mengakhiri mesyuarat, kedua-dua pengerusi bersama berharap agar program-program yang dirancang nanti akan terus memperkukuhkan hubungan baik antara TUDM dan TURAF serta memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Kedua-dua pengerusi juga turut menekankan pentingnya komitmen yang tinggi dalam melaksanakan program yang telah dirancang untuk memperkasakan modal insan dan meningkatkan kesiagaan angkatan udara bagi kedua-dua negara.
Sebahagian pengisian program dalam mesyuarat ini, delegasi TURAF turut dibawa melawat ke Kolej Tentera Udara, Alor Setar bagi melihat pengoperasian dan fasiliti latihan yang digunakan oleh TUDM di kolej tersebut. Mengakhiri program, delegasi TURAF turut mengadakan lawatan ke Turkish Aerospace Malaysia bertempat di Cyberjaya.