KUANTAN, 19 Jul 24 β Trade Master Kawalan Lalu Lintas Udara, Brig Jen Ben Khedda Adnan bin Mohd Yusoff TUDM telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Lencana Ketukangan, Penyampaian Sijil dan Penutup Kursus Basic Air Traffic Control Officer (BATCO) Siri 45/23. Majlis turut dihadiri Komandan INSPRA, Kol Mohammed Firdauz bin Hj Osman TUDM, Pemangku Komander Pangkalan, Lt Kol Baharyzal bin Bahrudin TUDM, wakil Perkhidmatan Tentera Darat Lt Kol Roeshidee @ Roshidi bin Saad, Ketua-Ketua Sekolah, Ketua Bahagian, barisan Jurulatih Pegawai dan Pegawai Waran yang bertempat di Auditorium Sekolah Bomba dan Menyelamat, INSPRA.
Kursus yang telah bermula pada 27 Nov 23 dan berakhir pada 19 Jul 24 ini telah disertai oleh 15 Peserta Kursus yang terdiri daripada (1) satu pegawai dari Tentera Darat dan 14 pegawai dari Tentera Udara Diraja Malaysia. Peserta Terbaik Teori disandang oleh Lt Muhamad Adib bin Marzhuke TUDM dan Peserta Terbaik Amali disandang oleh Lt Muhammad Rezqy Ababil bin Abas TUDM manakala Peserta Terbaik Keseluruhan disandang oleh Lt Amirul Haikal bin Khairul Azmi TUDM.
Objektif utama kursus BATCO adalah untuk melatih para Peserta Kursus tentang ilmu asas dan kemahiran dalam Kawalan Lalu Lintas Udara. Selepas tamat kursus, Peserta Kursus akan dilengkapi dengan keupayaan dan tahap keyakinan yang diperlukan untuk melaksanakan tugas mereka sebagai Pegawai Kawalan Trafik Udara di unit operasi TUDM khasnya dan ATM amnya.
Trade Master Kawalan Lalu Lintas Udara melalui ucapannya menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada graduan yang telah berjaya menamatkan kursus dengan jayanya. Semoga segala ilmu yang dipelajari sepanjang kursus dapat dipraktikkan semasa bertugas di unit masing-masing. Diakhir majlis turut diadakan acara bergambar bersama graduan sebagai tanda kenangan.