Kemaskini Terakhir: Isnin,27 Feb 2017
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

TUDM Kinrara

Warga ketukangan Materiel seharusnya berasa bangga dengan kewujudan dan kemunculan Pusat Latihan Pengurusan Logistik (PLPL). PLPL terletak di dalam keluasan tanah seluas 53 ekar di Bandar Kinrara. Jumlah keluasan sebenar Kem Kinrara ialah 104 ekar, 51 ekar lagi adalah milik Tentera Darat di mana terletaknya Hospital Angkatan (94 HAT) sebelum berpindah ke Wangsa Maju pada tahun 2008. Tanah kawasan Tentera Darat dan Tentera Udara dipisahkan dengan sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. PLPL adalah terletak di dalam kawasan negeri Selangor.

            Tanah Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) sebelum ini adalah hak milik Tentera British dan diserahkan kepada TUDM pada tahun 1963 apabila Sekolah Kejuruteraan Kapal Terbang (SKKT) ditubuhkan. Sejarah latihan bagi Pegawai ‘Supply’ adalah sama dengan SKKT iaitu pada tahun 1963 di mana latihan asas bagi pegawai ‘Supply’ dan LLP dilaksanakan. Apabila nama SKKT berubah kepada ITU pada tahun 1982, nama bagi Sekolah Latihan ‘Supply’ turut berubah kepada Sekolah Logistik.

            Pada tahun 1987, Sekolah Latihan bagi ‘Operator’ Kenderaan Khas TUDM telah diitubuhkan di Subang dan (ditumpangkan di ‘Aircraft Overhaul Depot atau DEBKAT).  Nama bagi pusat latihan ini ialah PLKK.  Selepas itu, pusat latihan ini turut melatih pemandu kenderaan domestik.  Di bawah Penyusunan Semula Organisasi TUDM pada tahun 1993/94 satu kawasan baru bagi Cawang Materiel telah diwujudkan.  TUDM Kinrara ditutup dan pelan utama ialah semua aktiviti latihan di dalam TUDM disatukan di TUDM Alor Setar iaitu Kolej Tentera Udara. Oleh kerana TUDM Alor Setar tidak menyediakan semua keperluan, Sekolah Kejuruteraan berpindah. Sekolah Logistik dan SEKTARA ditumpangkan di PU Subang. Sekolah Pegawai Skuadron ditempatkan di bangunan TUDM di Jalan Azyze, Pualau Pinang setelah dikosongkan oleh naungan Markas Pendidikan (MARDIK). MARDIK dipindahkan di PU Subang.

            Pada tahun 1997, ‘SEKLOG’ digabungkan dengan ‘PLKK’ dan dikenali sebagai PLPL. Sekolah latihan ini menghuni 2 buah bangunan bagi anggota-anggota bujang TUDM Subang.

Dengan inisiatif yang diambil pada tahun 2001 oleh AKS Materiel tanah TUDM di Kinrara telah dibangunkan.  Bangunan utama tinggalan ‘ITU’ telah dinaiktaraf dan diiktiraf dengan pembinaan semula bangunan-bangunan yang usang. Semua kuarters keluarga yang lama juga telah dinaiktaraf. Pada tahun 2002, Kompleks TUDM Kinrara telah muncul dengan satu imej yang baru. Kompleks ini terdiri daripada bangunan pentadbiran, Wisma Perwira, Wisma Bintara dan Blok Laskar Udara. Secara rasminya,  PLPL dipindahkan dari TUDM Subang ke TUDM Kinrara. Pujian seharusnya diberikan kepada Brig Jen (B) Dato’ Ali Nasiruddin bin Ibrahim TUDM dan Lt Kol Ahmad Zaini bin Md Ali TUDM serta semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung di dalam mengurus, memanfaat dan memastikan pembinaan semula TUDM Kinrara berjaya disiapkan dengan jayanya.

Semua warga ketukangan materiel seharusnya berasa berbangga dengan sumbangan mereka. Tanpa usaha mereka, kita tidak akan mempunyai pangkalan sendiri walaupun pangkalan hanya seluas 53 ekar.

Mulai dari saat itu,  tanpa menoleh ke belakang,  PLPL terus mengorak langkah di dalam menyediakan perkhidmatan latihan kepada warga TUDM ketukangan Logistik dan pemandu.  Antara kursus-kursus yang dilaksanakan di PLPL adalah seperti berikut :

Sekolah Sistem Materiel

1)    Asas Logistik

2)    Juruteknik Logistik

3)    Pengurusan Pergerakan Udara

4)    Pengurusan Bahanapi Pesawat Terbang

5)    Penyelenggara Stor Bahan Letupan

6)    Pengurusan Materiel dan Pengurusan Gudang

7)    Asas Pegawai Materiel

8)    Lanjutan Pegawai Materiel

Sekolah Edaran dan Pengangkutan

1)    Asas Pemandu

2)    Lanjutan Pemandu

3)    Operator Kenderaan Khas

4)    Jurulatih Memandu Kenderaan

5)    Pengurusan Operasi Pengangkutan

6)    Ketua Fleet Kenderaan

7)    Pegawai Penguji Berkelayakan

8)    Operator Kren

9)    Operator Prime Mover dan Trailler

PLPL juga adalah salah sebuah daripada unit di bawah naungan Markas Pendidikan dan Latihan Udara (MPLU) yang telah dianugerahkan dengan Persijilan MS : ISO 9001:2000 dan telah dinaiktaraf sebagai MS ISO 9001 : 2008.  PLPL kini juga berkemampuan untuk menerima penuntut dari luar negara.  Sehingga ke hari ini,  PLPL telah menerima penuntut daripada negara Brunei,  Indonesia dan Filipina.

Selain daripada menjadi pusat latihan bagi kursus-kursus di bawah kendalian MPLU,  PLPL juga sering dipilih untuk menjadi tempat latihan/ kursus/seminar dan aktiviti dari markas/unit-unit luar.  Selain berkemampuan menyediakan fasiliti yang bermutu,  turut menjadi faktor pilihan adalah lokasi PLPL yang berhampiran dengan Lembah Kelang serta berhampiran dengan markas/ unit utama di Lembah Kelang.

VISI PLPL

PENERAJU PUSAT KECEMERLANGAN YANG BERKELAS DUNIA DI DALAM MELAHIRKAN PEGAWAI DAN LLP DI DALAM KETUKANGAN LOGISTIK DAN PEMANDU YANG DAPAT MENDOKONG ASPIRASI TUDM

MISI PLPL

MELENGKAPKAN WARGA LOGISTIK TUDM DENGAN PENGETAHUAN,  KEMAHIRAN DAN SIKAP YANG POSITIF MELALUI PROSES PEMBELAJARAN SELARAS DENGAN LATIHAN DAN PENILAIAN BERASASKAN KETERAMPILAN