Kemaskini Terakhir: Ahad,26 Mac 2017
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

Pangkalan Udara Gong Kedak

Pangkalan Udara (PU) Gong Kedak ini merupakan sebuah pangkalan yang unik kerana lokasinya yang terletak di dalam dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. Keluasan keseluruhan pangkalan adalah 3,581.54 ekar di mana 2,827.14 ekar (78.9%) berada di dalam negeri Kelantan manakala 754.40 ekar (21.1%) berada di dalam negeri Terengganu. Panjang pagar perimeter pangkalan adalah 21.6 kilometer.

Secara amnya pangkalan ini terletak lebih kurang 10 km ke Bandar Jerteh dan 12 km ke pekan Besut. Ianya juga dihubungkan ke bandar Pasir Puteh melalui jalan belakang pangkalan sejauh lebih kurang 16 km. Kawasan pangkalan ini dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Kompleks Gong Kedak (kawasan teknikal) dan Kompleks Bukit Peteri (kawasan domestik). Pembahagian kawasan inin dipisahkan oleh jalan raya Jerteh – Kuala Besut.

SEJARAH

Landasan Kapal Terbang Gong Kedak telah wujud sebelum Perang Dunia Ke Dua lagi. Pada awal tahun 60an, landasan ini masih lagi digunakan oleh pihak Tentera Udara British untuk sesi latihan dan seterusnya pada tahun 70an sehingga 1989, landasan kapal terbang ini digunakan oleh ATM sebagai kawasan latihan khusunya latihan payung terjun.

Di dalam pembesaran dan memperkasakan lagi pertahanan negara khususnya TUDM, kerajaan telah mengambil keputusan membangunkan PU Gong Kedak. Bagi tujuan ini kerajaan telah memulakan proses pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan PU Gong Kedak ini telah bermula pada tahun 1981. Proses ini dijalankan oleh Pejabat Tanah Pasir Puteh.

Pada tahun 1993, Skuadron 321 unit radar pertahanan ruang udara telah ditubuhkan dan beroperasian di pangkalan ini yang sebelumnya dikenali sebagai TUDM Bukit Peteri. Sejajar dengan dasar permodenan ATM, pada tahun 1995, projek pembangunan PU Gong Kedak telah diluluskan. Seterusnya PU Gong Kedak telah ditubuhkan pada 13 feb 1998 dan mula beroperasi pada bulan November 1998 dengan menggunakan Waran Perjawatan: AT/5109/98 bertarikh 20 Mei 1998. Semasa penubuhannya PU Gong Kedak mempunyai perjawatan seramai 423 orang anggota bersesuaian dengan peranannya sebagai sebuah pangkalan logistik dan teknikal kepada Skn 321 Bukit Peteri.

Pada akhir tahun 2001, Pusat Latihan Terbang (PLTB) 3 telah berpindah dari PU Kuantan ke pangkalan ini. Skuadron ini telah mula beroperasi menggunakan lapan buah pesawat PC 7 MK 11 dan empat buah PC 7. Ini menjadikan pangkalan ini mempunyai dua unit lojer iaitu Skn 321 Bukit Peteri dan PLBT 3.

Setelah kerajaan Malaysia memutuskan untuk membeli 18 buah pesawat Sukhoi SU-30 MKM dari negara Russia dan telah memutuskan pesawat ini ditempatkan di PU Gong Kedak. PLTB 3 telah dipindahkan ke Kolej Tentera Udara Alor Setar pada awal bulan Apr 2004. Ini bagi membolehkan kerja-kerja pembangunan prasarana projek penempatan pesawat Sukhoi SU-30 MKM dapat dijalankan dengan lancar, rombakan organisasi PU Gong Kedak juga telah dilaksanakan untuk memenuhi keperluan bagi mendokong peranan baru yang dilaksanakan oleh PU Gong Kedak. Pangkalan ini akan dijadikan sebagai Pangkalan Operasi Hadapan (Forward Operation Base, FOB).

Sebagai sebuah FOB, PU Gong Kedak memainkan peranannya tersendiri iaitu memberi khidmat bantuan operasi dalam aspek logistik, pentadbiran dan keselamatan kepada pasukan-pasukan Darat, Laut dan Udara yang memerlukannya. Pangkalan ini juga berperanan dan bertanggungjawab di dalam menguruskan asset seperti lapangan terbang dan lain-lain kemudahan prasarana, pentadbiran, bantuan logistic, bantuan senggaraan peralatan teknikal dan kenderaan.

Selaras dengan pembanggunan PU Gong Kedak dan penempatan pesawat pejuang Sukhoi SU-3O MKM, penyusunan semula perjawatan PU Gong Kedak telah diluluskan melalui Waran Perjawatan Bilangan K65 Tahun 2007 bertarikh 5 Jun 2007 dan berkuatkuasa mulai 1 Jun 2007. Jumlah keanggotaan yang telah diluluskan adalah seramai 984 orang anggota.

Pengoperasian pesawat Sukhoi SU-30 MKM di PU Gong Kedak ini juga melibatkan perpindahan skuadron penerbangan iaitu No 11 Skn yang beroperasi di PU Butterworth ke PU Gong Kedak. No 11 Skn pada asal penubuhannya di PU Butterworth hanya mengoperasi pesawat pejuang RF-5E untuk tugas peninjauan dan pesawat F-5B untuk latihan peralihan bagi juruterbang pejuang. Seiring dengan pertukaran jenis pesawat dan peranan yang akan dilaksanakan oleh No 11 Skn, pengstrukturan organisasi dan pertambahan bilangan keanggotaan skn ini juga telah diluluskan dan berkuatkuasa mulai 1 Jun 2007 dan mula beroperasi di PU Gong Kedak pada tarikh yang sama. Kini, PU Gong Kedak telah mula menerima pesawat Sukhoi SU-30 MKM secara berperingkat di mana pesawat pertama telah diterima pada bulan Julai 2007.