KUCHING, 16 Okt 21 - Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM telah mengadakan lawatan kerja ke Skn 330, Kota Samarahan dan Pos Biawak. Ketibaan Panglima Operasi Udara dan delegasi telah disambut oleh Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato' Hj Shamsudin Bin Kassim TUDM dan Komander Pangkalan, Kol Mohd Azwan bin Mohd Pohari TUDM.
Lawatan kerja Panglima Operasi Udara ini dimulakan dengan lawatan ke Skn 232 HANDAU. Panglima Operasi Udara telah diberikan taklimat keselamatan dan penerangan langkah-langkah keselamatan yang diambil semasa bertugas oleh Ketua Skn 323 HANDAU, Kapt Muhammad Alif Bin Abdullah TUDM serta anggota handau. Beliau kemudian telah dibawa menghadiri sesi dialog bersama warga Skn 330 dan ke 'Control & Reporting Centre 2 (CRC 2) bagi melihat dengan lebih dekat keupayaan sistem pertahanan udara C2 SENTRY yang dikendalikan oleh Cawangan Kawal dan Lapor.
Lawatan kerja diteruskan lagi ke Pos Biawak iaitu Pos Gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Lundu. Ketibaan Panglima Operasi Udara ini telah disambut oleh Panglima 3 Briged, Brig Jen Dato' Azhar bin Hj Ahmad. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau dan melihat kesiagaan anggota Tentera Darat Malaysia dalam kawalan operasi persempadanan daratan antara Sarawak dan Kalimantan di bawah KTJ formasi Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.
Panglima Operasi Udara juga turut mengambil kesempatan untuk menyantuni bekas anggota TUDM, Kpl U Siti Nur Aisyah @ Annerita binti Abdullah yang mengalami penyakit kronik (masalah saraf tunjang) dan menyerahkan cek sumbangan kepada keluarga beliau. Pangkalan Udara Kuching juga telah membantu membaikpulih rumah bagi Kpl U Aisyah di dalam Program Jiwa Murni Pangkalan. TUDM sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap anggotanya serta veteran TUDM.