BANGI, 11 Sep 22 - Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara (MPSTU) telah melaksanakan Majlis Makan Beradat Sempena Istiadat Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Univerisiti Awam Tahun 2022 yang diadakan di Hotel Tenera, Bangi.
Seramai 324 orang Pegawai Kadet PALAPES Udara yang baru sahaja ditauliahkan telah diraikan pada majlis makan beradat ini. Istiadat pentauliahan mereka telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 Sep 22 di UKM, Bangi.
Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Indera Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Mej Jen Dato' Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM; Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Brig Jen Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM; Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Hj Baharudin bin Hj Abu Hassan TUDM; Komandan PALAPES UniSZA, Kol (Kehormat) Prof Dr Fadzli bin Adam PSSTUDM dan Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara, Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM.
Majlis ini diadakan untuk menerap, mengekal dan meneruskan budaya ketenteraan yang kali terakhir majlis seperti ini diadakan ialah pada tahun 2016.
Dalam majlis ini, Timbalan Panglima Tentera Udara telah memberikan anugerah kepada lapan orang Kadet Terbaik dari lapan PALAPES Udara Universiti Awam termasuk Anugerah Detasmen Terbaik Perbarisan kepada Detasmen No 8 TUDM yang dianggotai oleh PALAPES Udara Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Dalam ucapan beliau, Timbalan Panglima Tentera Udara berharap agar lebih ramai para pegawai muda PSSTUDM yang merupakan generasi baharu warga awam berjiwa tentera untuk memohon berkhidmat di dalam angkatan tetap TUDM atau kekal aktif dalam PSSTUDM. Kepakaran dan kemahiran generasi baharu amat diperlukan dalam menyumbang idea, kepakaran dan kemahiran bagi mengekalkan TUDM sebagai angkatan tentera yang kredibel dan disegani.
Beliau juga mengingatkan mereka untuk sentiasa memelihara imej dan nama baik TUDM sepanjang berkhidmat sebagai pegawai PSSTUDM. Beliau turut menyarankan pegawai muda PSSTUDM menjauhi dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara-perkara yang tidak sihat dan menyalahi peraturan undang-undang seperti penyalahgunaan dadah, pencemaran nilai integriti mahupun terlibat dengan kumpulan-kumpulan ekstremis politik dan agama.
Timbalan Panglima Tentera Udara juga meluangkan masa beramah mesra dengan semua pegawai yang terlibat.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua Pegawai Muda PSSTUDM yang telah ditauliahkan dan diraikan dalam majlis ini. Semoga mereka terus cemerlang dan membawa nama dan imej organisasi walau di mana mereka bertugas setelah menamatkan pengajian.