KINRARA, 21 JAN 22 - INSMAT TUDM Kinrara hari ini telah melaksanakan Perbarisan Penghargaan sempena persaraan Brig Jen Dato' Mohamad Shuairi bin Abdullah TUDM bertempat di Padang Kawad INSMAT. Perbarisan Persaraan ini disaksikan bersama oleh Asisten Ketua Staf Materiel, Mej Jen Dato' Zainal bin Abdul Manaf TUDM dan isteri, Datin Noorani binti Abdul Mutalib serta Pegawai-pegawai Kanan Cawangan Materiel dan isteri, serta pegawai-pegawai dan anggota Cawangan Materiel.
Perbarisan ini diadakan sebagai satu penghormatan TUDM khususnya daripada Cawangan Materiel kepada beliau yang akan bersara dari perkhidmatan setelah menabur bakti selama 42 tahun di dalam perkhidmatan TUDM khususnya dan ATM amnya.
Brig Jen Dato' Mohamad Shuairi bin Abdullah TUDM telah menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 11 pegawai dan 180 anggota Lain-lain Pangkat diketuai oleh Mej Mohamad Haadi Iskandar bin Mohamad Lazim TUDM serta diiringi oleh Pancaragam Pusat TUDM.
Brig Jen Dato' Mohamad Shuairi TUDM di dalam ucapan di perbarisan menzahirkan terima kasih kepada pucuk pimpinan TUDM atas segala sokongan yang diberikan kepada beliau di sepanjang perkhidmatan. Tidak terkecuali ucapan terima kasih beliau kepada MTU-Materiel sebagai penganjur serta Pegawai Memerintah INSMAT, Lt Kol Nor Azlan bin Mohamad Noor TUDM dan kepada seluruh warga INSMAT sebagai tuan rumah bagi perbarisan persaraan beliau. Beliau menyatakan harapan agar semua peringkat anggota terus berganding bahu dan memberi sokongan sepenuh jiwa raga dalam usaha mencapai matlamat menjadikan TUDM sebagai satu angkatan udara yang unggul. Beliau menyeru agar semua pegawai dan anggota meningkatkan mutu perkhidmatan dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas kerana ia adalah asas utama dalam membina kegemilangan sesebuah organisasi.
Sebagai acara simbolik penghargaan TUDM kepada beliau, Brig Jen Dato' Mohamad Shuairi bin Abdullah TUDM dan isteri, Datin Azrina binti Ahmad telah diiring beredar meninggalkan lokasi dalam acara ‘send off’ menggunakan kenderaan istiadat oleh para pegawai dan anggota TUDM yang terlibat dalam perbarisan ini.
Seluruh warga TUDM mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada perkhidmatan serta selamat bersara dan selamat maju jaya kepada Brig Jen Dato' Mohamad Shuairi bin Abdullah TUDM dan isteri.