TUDM LAHIRKAN JURUTERBANG HELIKOPTER TENTERA DARAT MALAYSIA DAN TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA DALAM SIRI KHAS KURSUS ASAS PENERBANGAN HELIKOPTER

1 2 3
4 5 6

 

KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2022- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi mencipta sejarah di dalam melahirkan juruterbang pesawat tentera. Bertempat di Eagle Nest, Markas Tentera Udara di Wisma Pertahanan, Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan bagi Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 62/21 (Siri Khas) telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM. Majlis yang dikoordinasi oleh Kolej Tentera Udara bersama Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2), Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara serta Sekretariat Markas Tentera Udara dilaksanakan secara norma baharu berikutan endemik Covid-19 dan tanpa kehadiran keluarga pelatih.

Kursus Asas Penerbangan Helikopter atau Basic Helicopter Flying Course (BHFC) Siri 62/21 merupakan siri khas kerana hanya terdiri daripada perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Kursus ini merupakan fasa asas penerbangan untuk pelatih helikopter yang telah berjaya dilaksanakan di INSPEN 2, Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah. Kursus siri khas ini bermula dengan seramai lapan (8) orang pelatih yang terdiri daripada empat (4) pegawai TDM dan empat (4) pegawai TLDM. Kesemua pelatih telah berjaya menamatkan Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di INSPEN 1 kemudian meneruskan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di INSPEN 2 mulai 4 Januari 2021 menggunakan pesawat Eurocopter EC 120B Colibri.

Setelah mengharungi segala cabaran dan rintangan selama 1 tahun 2 bulan, hanya tujuh (7) pelatih BHFC siri 62/21 telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang namun seorang daripada pelatih terpaksa ditangguhkan latihan disebabkan oleh masalah kesihatan. Para pelatih telah berjaya menamatkan kursus pada 26 Januari 2022 dan melayakkan mereka untuk dianugerahkan sayap penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia.

7 9 10
11 8 12

 

Ketujuh-tujuh pelatih Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 62/21 (Siri Khas) ialah:

1. Kapten Dzariq Iskandar bin Dzafrul Akhtar - Ditauliahkan sebagai pegawai TDM ke Kor Ordnan Diraja pada 24 Januari 2016, berasal dari Rawang, Selangor.

2. Kapten Muhammad Farris Syaza bin Zamri - Ditauliahkan sebagai pegawai TDM ke Kor Perkhidmatan Am (Gaji) pada 24 Januari 2016, berasal dari Sungai Petani, Kedah.

3. Kapten Mohd Amirul Asyraf Firdaus bin Mohd Azmi - Ditauliahkan sebagai pegawai TDM ke Rejimen Askar Melayu Diraja pada 21 Januari 2017,berasal dari Kuantan, Pahang.

4. Kapten Tan Eu Jing - Ditauliahkan sebagai pegawai TDM ke Rejimen Semboyan Diraja pada 16 Disember 2017, berasal dari Setapak, Kuala Lumpur.

5. Leftenan Mohd Nur Amin bin Saleh TLDM - Ditauliahkan sebagai pegawai TLDM ke Cawang Eksekutif pada 1 Januari 2013. Beliau berasal dari Kuching, Sarawak.

6. Leftenan Mohamad Hanafie bin Mohd Yasir TLDM - Ditauliahkan sebagai pegawai TLDM ke Cawang Eksekutif pada 25 April 2015, berasal dari Muar, Johor.

7. Leftenan Mohamad Taufik bin Mokhtar TLDM - Ditauliahkan sebagai pegawai TLDM ke Cawang Eksekutif pada 25 April 2015, berasal dari Temerloh, Pahang.

14

Anugerah Pelatih Penerbangan Helikopter Terbaik telah dinobatkan kepada Kapten Muhammad Farris Syaza bin Zamri. Anak kelahiran dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang merupakan anak pertama daripada tiga orang adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ara Rendang dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Di atas kecemerlangan di dalam mengendalikan pesawat EC 120 B di sepanjang latihan dan menepati kriteria yang ditentukan telah melayakkan beliau dianugerahkan “Piala Nuri”

13

Manakala bagi Anugerah Pelatih Akademik Terbaik telah disandang oleh Leftenan Mohamad Hanafie bin Mohd Yasir TLDM. Berasal dari Muar, Johor, merupakan anak pertama daripada dua orang adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Maktab Tentera Diraja dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Beliau dianugerahkan “Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara” atas pencapaian keputusan terbaik dalam bidang akademik serta atas sikap gigih serta dedikasi yang dilaksanakan.

Kejayaan pelatih dalam menamatkan BHFC Siri khas kali ini juga secara tidak langsung membuktikan tahap profesionalisme barisan tenaga instruktor TUDM di INSPEN 1 dan INSPEN 2 di dalam melahirkan juruterbang pesawat Angkatan Tentera Malaysia meskipun kesemua pelatih adalah dari pelbagai kor dan cawang di TDM dan TLDM. Mempunyai jurulatih dan instruktor yang berdedikasi serta pakar di dalam bidang (Subject Matter Expert (SME)) adalah aset yang berharga dan kelebihan ini bukan sahaja memanfaatkan TUDM malah turut memanfaatkan perkhidmatan TDM dan TLDM dalam melahirkan juruterbang-juruterbang dan sekaligus perwira-perwira negara yang bakal berjuang dan mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara yang tercinta. Tidak terkecuali turut memanfaatkan negara Malaysia dari aspek diplomasi pertahanan dan latihan apabila melibatkan pelatih pasukan tentera udara dari luar negara.

Turut serta di majlis bersejarah ini ialah Panglima Bantuan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Komandan Kolej Tentera Udara, Brigedier Jeneral Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM; Pegawai Memerintah INSPEN 2, Mejar Khairul Anuar bin Addeli TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM. Turut dijemput khas mewakili TDM ialah Pengarah PUTD, Brigedier Jeneral Yazid bin Yusuf dan Ketua Staf Markas Udara TLDM, Kepten Ruzman bin Mat TLDM mewakili TLDM.