LT JEN DATO' INDERA MUHAMAD NORAZLAN BIN ARIS TUDM DILANTIK SEBAGAI TIMBALAN PANGLIMA TENTERA UDARA YANG BAHARU

1 2 3
4 5 6

 

Kuala Lumpur, 28 Jun 22 - Lt Jen Dato' Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM hari ini secara rasmi menerima tugas dan jawatan sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara daripada Lt Jen Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM. Upacara Serah Terima Tugas selesai disempurnakan hari ini dan disaksikan oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM di Dewan Seroja, Kem KEMENTAH, Kuala Lumpur.

Beliau menjawat jawatan TPTU menggantikan Lt Jen Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM yang akan bersara dari perkhidmatan TUDM khususnya dan ATM amnya setelah berkhidmat selama 41 tahun.

7 8 9
10 11 12

 

Sebaik menjawat jawatan Timbalan Panglima Tentera Udara, beliau telah diberikan penghormatan mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kuarter di Dataran Wisma Pertahanan bersempena hari pertama memasuki Wisma Pertahanan. Beliau kemudiannya diiringi oleh Ketua Pengarah Sekretariat, Mej Jen Dato’ Hanafiah bin Abdul Manaf TUDM ke Wisma Pertahanan dan disambut ketibaannya oleh Panglima-Panglima Pemerintahan didahului oleh Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Bantuan Udara, Brig Jen Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Zahani bin Zainal Abidin TUDM; Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM serta kumpulan Asisten Ketua Staf serta pegawai kanan TUDM yang berkhidmat di Markas Tentera Udara, Markas ATM dan sekitar Lembah Kelang.

Beliau kemudiannya memasuki pejabat Timbalan Panglima Tentera Udara dengan disambut oleh para staf dan hari pertama beliau secara rasmi melangkah masuk ke pejabat dimulakan dengan bacaan doa selamat dan memohon keberkatan yang dipimpin oleh Lt Kol Salahuddin bin Safeie, PS 1 Agama MTU.

13 14 15
16 17 18

 

Mengimbau secara ringkas latar belakang beliau, kerjayanya di dalam Angkatan Tentera Malaysia bermula apabila menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Kolej Tentera Udara pada tahun 1987. Beliau memulakan latihan penerbangan pada tahun 1988 dan setelah tamat latihan tersebut beliau dipilih untuk menerbangkan pesawat pejuang. Di sepanjang kerjaya, beliau telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat pejuang seperti Aermacchi MB339A, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MIG29N dan Sukhoi 30MKM jurulatih pesawat MB339CM, MiG-29N dan Sukhoi 30MKM.

Di sepanjang perkhidmatannya, beliau telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di dalam TUDM sebagai pemerintah, staf dan jurulatih. Antaranya adalah Pegawai Staf 1 Operasi Pejuang di Markas Wilayah Udara 1, Pegawai Memerintah No 11 Skuadron Su-30MKM, Komander Pangkalan Gong Kedak, Timbalan Asisten Ketua Staf P&P, Ketua Staf di Markas Pemerintahan Operasi Udara, Panglima Bantuan Udara dan terakhir sebagai Panglima Operasi Udara sebelum memegang jawatan sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara pada hari ini.

Seluruh warga TUDM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah di atas pelantikan Lt Jen Dato' Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara yang baharu.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer