PERASMIAN WISMA BINTARA ATM UNTUK KESELESAAN PEGAWAI TIDAK TAULIAH KANAN ATM

1 2 3
4 5 6

 

KUALA LUMPUR, 28 Jan 22 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz telah merasmikan Wisma Bintara ATM hari ini.

Wisma Bintara ATM berperanan sebagai organisasi yang menyediakan kemudahan penginapan, sajian, riadah, sosial dan perkhidmatan hospitaliti kepada Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) ATM yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).

Wisma Bintara ATM yang baharu dibina menyediakan 200 bilik penginapan yang selesa serta turut dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan moden termasuk surau, dewan bankuet, gelanggang sukan, gimnasium, ruang istirehat dan lain-lain.

Dalam ucapannya, Timbalan Menteri Pertahanan menyatakan pembinaan Wisma Bintara ini jelas merupakan suatu manifestasi sokongan jitu serta pengiktirafan pihak kerajaan dan MINDEF terhadap kepentingan ATM sebagai “perisai negara”, khususnya pengiktirafan kepada para Bintara yang menjadi tulang belakang ATM dalam memastikan maruah dan kedaulatan negara terjaga.

Turut hadir dalam majlis adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abdul Aziz; Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (Bersara); Pengerusi Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli bin Mohd Zin (Bersara); Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan, Panglima-Panglima Perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan dan anggota ATM.