Kemaskini Terakhir: Sabtu,19 Jan 2019
A- A A+
config

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

9d241ca4 5d8c 40d8 a387 eb1badef4c177c293033 318a 4530 bf4b 7b7e6911b73d16c010a4 f038 4d70 a4ea a3886ccc36c2b2798b23 e739 4e08 b14b ca61edc4a651153f9e81 ae77 450d 9399 e3cb363d9ba0

Kuala Lumpur, 8 Jan 19 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah menyampaikan perutusannya sempena tahun 2019 kepada warga TUDM bertempat di Auditorium Kementerian Pertahanan.

Perutusan ini turut ditayangkan secara persidangan video ke seluruh Markas/Pangkalan/Unit di bawah naungan TUDM di seluruh Negara untuk memastikan agar perutusan ini dapat disalurkan ke seluruh lapisan warga TUDM.

Tahun 2018 menyaksikan peningkatan peratusan kebaikan pesawat serta aset strategik TUDM yang lain melalui hasil dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak menerusi strategi “Targeted Aircraft” Peningkatan peratusan kebaikan pesawat ini sememangnya adalah amat dibanggakan kerana TUDM masih mampu mengekalkan tahap kesiagaan meskipun berdepan dengan pelbagai kekangan khususnya dalam aspek bajet pertahanan serta langkah penjimatan umum oleh kerajaan.

Dalam amanat Panglima Tentera Udara yang disampaikan, beliau menekankan bahawa kelestarian pembangunan modal insan dan kebajikan warga TUDM juga adalah merupakan aspek yang penting khususnya di dalam memastikan TUDM mampu melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya dengan berkesan dan menyumbang kepada pencapaian visi untuk menjadi satu kuasa udara yang dominan.

Dalam memastikan aspek ini terus diberi fokus yang sewajarnya, maka beberapa usaha dan inisiatif telah dirangka termasuklah penambahbaikan skim Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) yang kini dikenali sebagai Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Pada masa ini juga, TUDM telah pun mula menduduki prasarana baru di Pangkalan Udara Sendayan sejak tahun 2018. Seiring dengan pembangunan ini juga, TUDM bakal menerima beberapa prasarana baru pada tahun 2019 yang akan ditempatkan di Pangkalan Udara Sendayan, Pangkalan Udara Subang dan Pangkalan Udara Kuantan. Prasarana baru yang dilengkapi dengan kemudahan terkini ini bakal memberi manfaat kepada warga TUDM khasnya.

“Adalah menjadi harapan saya agar fasiliti baru yang tersergam indah di PU Sendayan, Subang dan Kuantan bakal menjana keupayaan yang lebih berkesan dan seterusnya menyuntik semangat baru bagi segenap lapisan warga TUDM ke arah kecemerlangan yang berterusan”, ujar beliau lagi.

Panglima Tentera Udara turut menekankan kepentingan Budaya Pengurusan Cemerlang sepertimana yang digariskan di dalam Perintah Ulung beliau. TUDM telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan inisiatif bagi mengangkat budaya ini ke persada yang lebih unggul termasuk penyertaan di dalam Eksesais Pitch Black di Darwin, Australia. Selain itu, TUDM turut merekodkan lebih dari 21,500 jam penerbangan secara keseluruhan di sepanjang tahun 2018 dengan jumlah pelaporan kemalangan kecil yang direkodkan hanyalah satu (1) dan tiada kemalangan serius direkodkan.

“Saya percaya, tanpa pembudayaan pengurusan yang cemerlang di semua peringkat, ianya tidak akan mampu dicapai. Syabas saya ucapkan kepada semua dan saya berharap pencapaian ini akan dapat diperbaiki untuk tahun 2019”, kata Panglima Tentera Udara.

Budaya cemerlang ini juga menyumbang kepada pelbagai bentuk inovasi yang jitu antaranya adalah Inovasi Integrasi Sistem Pengurusan Komputer Bersepadu (SPKB) ke dalam sistem satelit X-Band bagi membolehkan SPKB digunakan di Prince Sultan Air Base, Arab Saudi pada tahun 2018. Inovasi ini telah memudahkan urusan senggaraan serta dokumentasi pesawat oleh tim detasmen.

Usaha kreatif dan inovatif sedemikianlah yang telah melonjakkan nama TUDM di persada kecemerlangan anugerah inovasi Kementerian Pertahanan yang menyaksikan TUDM mengungguli tiga daripada enam kategori yang dipertandingkan.

“Oleh demikian, saya berharap inovasi sebegini akan dapat terus dicetuskan oleh warga TUDM agar budaya kecemerlangan ini terus mekar dan memberi impak positif kepada bukan sahaja perkhidmatan malahan negara secara amnya”, kata Panglima Tentera Udara lagi.

Pelbagai bentuk kecemerlangan telah dicapai oleh TUDM di sepanjang tahun 2018 seperti penglibatan di dalam misi-misi bantuan kemanusiaan di peringkat Antarabangsa. Misi kemanusiaan di Palu, Sulawesi, Indonesia adalah salah satu pencapaian yang amat dibanggakan kerana kecemerlangan operasi pesawat A400M dan C130 telah berjaya mengharumkan nama TUDM, ATM dan Negara. Kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan kepercayaan masyarakat umum terhadap keupayaan TUDM bahkan mengeratkan lagi hubungan diplomasi pertahanan antara dua (2) buah Negara dalam konteks keamanan dan kestabilan serantau.

“Saya menyeru perwira dan perajurit sekalian untuk terus menghayati perintah ulung saya dan menjayakan aspirasi enam tonggak yang telah saya gariskan dalam perintah ulung tersebut. Saya juga berharap, semua warga TUDM akan meneruskan kecemerlangan dalam aspek keselamatan, baik keselamatan penerbangan mahupun keselamatan am di tempat kerja. Saya juga menyeru agar semua warga TUDM untuk meneruskan usaha gigih bagi mencapai KPI-KPI yang telah disasarkan dan meneruskan pembudayaan nilai-nilai teras TUDM. Saya yakin dengan cara ini, kita pasti mampu mendepani sebarang cabaran seperti yang telah kita buktikan dalam tahun 2018”, tegas beliau.

Di akhir penyampaian amanat tersebut, Panglima Tentera Udara turut menekankan agar warga TUDM sebagai sebahagian daripada penjawat awam, hendaklah meneruskan kecemerlangan dan menjunjung enam nilai teras TUDM bukan sahaja demi perkhidmatan bahkan Negara tercinta. Semua warga TUDM perlu melipatgandakan usaha dan usah berpuas-hati dengan pencapaian yang lampau serta meneruskan usaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi secara professional demi memartabatkan kecemerlangan perkhidmatan TUDM.