KUALA LUMPUR, 3 Jul 18 - Majlis Sambutan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1439H/2018H telah berlangsung bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur yang bermula jam 11.00 pagi sehingga 5.00 petang. Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin serta Panglima Tentera Udara, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM selaku penganjur turut hadir bagi menyambut tetamu-tetamu ke majlis tersebut.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM. Turut hadir Menteri Pertahanan, YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu.
Majlis dimeriahkan lagi dengan alunan muzik dari Kombo Seni Udara dan persembahan oleh Badan Kesenian Tentera Udara (BKTU) serta perkhidmatan. Majlis Sambutan Aidilfitri ATM pada tahun ini turut dihadiri lebih kurang 3000 jemputan yang terdiri daripada dif-dif kenamaan daripada Kementerian Pertahanan, Mantan-mantan Panglima Angkatan Tentera, Mantan-Mantan Panglima Perkhidmatan, Pegawai-Pegawai Kanan ATM, Pegawai serta anggota daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM yang bertugas disekitar Lembah Kelang.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong XV, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan raya kepada 53 orang anggota cedera ATM yang diraikan dalam majlis ini. Mereka adalah terdiri di kalangan Pegawai dan Anggota ATM yang tercedera semasa penugasan operasi dan latihan, terkena jerangkap samar dan sebahagiannya terlibat dalam kemalangan semasa di dalam perkhidmatan.