Kemaskini Terakhir: Rabu,21 Ogos 2019
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

12345671189101216131415

IPOH, 23 Jun 2018 – Seramai 43 pelatih wanita adalah di antara 344 Perajurit Muda (PJM) Tentera Udara Diraja Malaysia yang menamatkan latihan ketenteraan mereka di Akademi Tentera Udara (ATU) Ipoh, Perak hari ini.
Kesemua Perajurit Muda Udara wanita ini telah berjaya menjalani latihan ketenteraaan yang dijalankan selama 24 minggu bersama 301 Perajurit Muda Udara lelaki yang turut sama menamatkan latihan mereka dalam Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 58/2018 pada kali ini.

Istiadat Perbarisan sempena tamat latihan ini telah disaksikan oleh Panglima Tentera Udara, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan Pegawai-pegawai Kanan TUDM serta keluarga Perajurit Muda Udara.

Latihan Perajurit Muda Udara Siri 58/2018 telah bermula semenjak 1 Jan 2018 sehingga 23 Jun 2018 yang meliputi tiga fasa latihan. Fasa pertama adalah penumpuan latihan asas ketenteraan, fasa kedua akademik dan fasa ketiga melibatkan latihan, ujian pratikal dan penekanan pembentukan sahsiah seorang ahli udara yang berkualiti dan berdisiplin.

Modul-modul yang telah dipelajari oleh para pelatih dalam latihan asas ketenteraan adalah seperti Kawad Kaki, Kawad Senjata, Pengendalian Senjata, Latihan Jasmani, Latihan Menembak, Membaca Peta, Pandu Arah, Pertahanan pangkalan, Merentas Halangan dan Latihan Hutan.

Di dalam bidang akademik pula, para pelatih didedahkan dengan modul seperti mempelajari Pengetahuan Am Perkhidmatan, Keselamatan, Tatatertib, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Etika Tentera.

Para pelatih juga telah didedahkan dengan aktiviti sosial, sukan dan keagamaan sepanjang menjalani latihan. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan adalah Perlawanan Bola Tampar, Bola Sepak, Bola Jaring, Sepak Takraw, Tarik Tali, Merentas Desa, Merentas Halangan, Pertandingan Jalan Laju, Pertandingan Kawad, Program Jasmani, Emosi, Rohani dan Islamiah.

Sepanjang tempoh latihan, para jurulatih sentiasa menanamkan semangat juang yang kental, semangat setiakawan, jati diri, ketahanan mental dan fizikal serta patuh kepada setiap arahan yang diberikan. Perajurit Muda juga sentiasa diasuh supaya memperbaiki diri untuk maju, berdaya saing, berakhlak mulia dan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan terutama di bidang kerjaya, akademik dan agama.

Setelah tamat menjalani latihan, semua Perajurit Muda Udara ini akan ditempatkan ke unit-unit yang telah ditetapkan dan mereka akan menghadiri kursus asas ketukangan masing-masing bagi mempertingkatkan kemahiran dan juga profesionalisma masing-masing.

Sebelum itu, Panglima Tentera Udara, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah mengambil Tabik Hormat serta menyampaikan hadiah kepada Flait Terbaik, Perajurit Muda Terbaik Keseluruhan, Perajurit Muda Penembak Terbaik dan Perajurit Muda Akademik Terbaik.

Bagi Anugerah Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan Siri 58/2018 telah dinobatkan kepada Perajurit Muda Udara Muhammad Luqman bin Mokhtar. Beliau telah menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara. Sementara itu, Perajurit Muda Udara Rani A/P Murugayah telah dipilih sebagai Perajurit Muda Udara Akademik Terbaik dan menerima Piala Pusingan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara. Manakala Perajurit Muda Udara Penembak Terbaik telah disandang oleh Perajurit Muda Udara Abdul Rohim bin Azelan dan beliau menerima Piala Pusingan Asisten Ketua Staf Tadbir.