Kemaskini Terakhir: Isnin,19 Ogos 2019
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

WAN 8607WAN 8500WAN 8518WAN 8545WAN 8560WAN 8626WAN 8668WAN 8736WAN 8754WAN 8777WAN 8801WAN 8804WAN 8816WAN 8477WAN 8841

KUALA LUMPUR, 27 Feb 18 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menyampaikan amanat dan khabar gembira kepada warga Awam Kementerian Pertahanan dan anggota serta veteran ATM bagi tahun 2018 bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira hari ini.

Antara pengumuman yang disampaikan oleh Menteri Pertahanan adalah mengenai 7 inisiatif baharu khusus untuk manfaat warga Awam Kementerian Pertahanan dan 2 inisiatif untuk warga ATM serta Veteran.

Untuk Warga Awam MINDEF:

1. Peruntukan sebanyak 500 unit daripada 3,500 unit rumah yang bakal dibina di Sungai Besi, Kuala Lumpur di bawah inisiatif Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWip), khas untuk warga awam MINDEF. Inisiatif khas ini bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup, terutamanya dalam konteks pembelian rumah sendiri.

2. Mengadakan Karnival Jualan Murah (MyBestBuy) secara bulanan, khusus untuk membantu warga awam MINDEF mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran. Bagi menjayakannya, MINDEF akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Pertanian.

3. Menaik taraf Taska Puspanita MINDEF dengan meningkatkan kualiti kemudahan sedia ada bagi memberi keselesaan dan keselamatan anak-anak warga awam MINDEF serta mewujudkan Rumah Transit. Selain itu, sumbangan kenderaan pelbagai guna kepada Persatuan Kebajikan Kakitangan Awam dan Puspanita serta sumbangan dana berjumlah RM30,000 untuk menjalankan aktiviti persatuan.

4. Memperkenalkan Bantuan Pendidikan Khas bagi mengiktiraf kecemerlangan anak-anak warga awam MINDEF yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PT3 dan SPM. Menerusi bantuan ini, anak-anak warga awam MINDEF yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PT3 akan menerima RM100 sebulan selama setahun. Manakala bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM pula, mereka akan menerima RM150 sebulan selama setahun.

5. Meningkatkan kuota khas Ibadah Haji kepada warga awam MINDEF daripada 100 orang kepada 200 orang. Melalui inisiatif ini, MINDEF berusaha memastikan yang warga awam MINDEF yang terpilih menunaikan ibadah Haji, dapat menyempurnakannya tanpa perlu menunggu giliran yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji.

6. Memperkasakan perkhidmatan pendidikan bagi memastikan anak-anak warga awam MINDEF yang bersekolah di 38 buah sekolah di dalam kem ATM di seluruh negara, akan turut menikmati manfaat inisiatif pendidikan yang dilaksanakan khusus untuk anak-anak anggota ATM di kem tersebut termasuk inisiatif Feri Sekolah.

7. Membolehkan warga Awam MINDEF mendapatkan rawatan perubatan yang disediakan di Hospital Angkatan Tentera dan Poliklinik ATM.

Warga ATM dan Veteran ATM:

1. Mewujudkan satu skim pembiayaan khas yang dinamakan Amanah Saham Bumiputera Zulu (ASB-Z). Skim pembiayaan ini adalah khusus untuk anggota dan veteran ATM yang layak untuk mencarum dengan skim ASB sahaja dan ia dilakukan dengan kerjasama bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB). Dengan pengenalan Skim pembiayaan ASB-Z ini, diharap ia akan berjaya memupuk budaya melabur dalam kalangan warga ATM serta meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. Ini kerana, skim ini dijangka mampu menawarkan pulangan yang lebih, berbanding dengan skim yang sedia ada. Di bawah skim ini, BMMB akan menawarkan pakej pembiayaan untuk jangka masa 5 dan 10 tahun bernilai RM14,000 sehingga RM140,000.

2. Menubuhkan Tabung Khas bagi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM. Tabung berkenaan diwujudkan bertujuan untuk memperkasakan lagi Agenda Kebajikan terhadap ahli-ahli BAKAT yang merupakan isteri kepada warga ATM. Selain itu, sumbangan khas sebanyak RM815,000 akan diperuntukkan dan akan diagihkan mengikut jumlah keahlian BAKAT kepada setiap perkhidmatan sehingga ke peringkat Briged bagi Tentera Darat, dan peringkat Wilayah bagi TLDM dan TUDM. Diharapkan dengan sumbangan tersebut, ianya dapat memberi manfaat kepada kira-kira 65,000 ahli BAKAT di seluruh negara.

YB Menteri Pertahanan berharap segala inisiatif serta insentif yang diumumkan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh golongan sasar di samping menjadi bukti penghargaan Kerajaan terhadap jasa warga ATM, para Veteran dan warga awam MINDEF selama ini.

Majlis penyampaian amanat turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Mohd Johari bin Baharum; Ketua Setiausahan Kementerian Pertahanan, YBhg Dato’ Sri Abdul Rahim bin Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera, YM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Udara, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Panglima-panglima Perkhidmatan dan warga MINDEF, tentera dan awam serta veteran ATM.